Penuntut UPM hilang ditemukan di Larkin Sentral - Utusan Malaysia

Penuntut UPM hilang ditemukan di Larkin Sentral

MOHD. IRFAN HAKIMI yang dilaporkan hilang di Selangor ditemukan di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu ditemukan di Terminal Bas Larkin Sentral, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pelajar tersebut, Mohd. Irfan Hakimi sudah dibawa pulang oleh bapanya ke rumah mereka di Selangor.

“Orang hilang telah dijumpai di Stesen Bas Larkin pada pukul 5 petang semalam.

“Bapanya sudah bawa balik ke rumahnya di Selangor,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.

Semalam, media melaporkan penuntut yang dikatakan hilang itu dikesan berada di sekitar daerah ini berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya.

Dia dilihat bersama-sama seorang individu lain dipercayai rakannya yang dirakam hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.

Polis turut dilaporkan berjaya mengesan motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki penuntut berkenaan sebelum ditinggalkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.

Bapanya membuat laporan polis Isnin lalu setelah gagal menghubungi penuntut berkenaan.

Ditanya tentang Mohd. Irfan ketika ditemukan, Raub memaklumkan penuntut itu berada dalam keadaan sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN