KUALA KRAU: Penduduk Kampung Pulau Pasir Mandi di sini merayu kerajaan membina sekolah baharu di kawasan itu bagi mengatasi risiko anak-anak mereka yang terpaksa menaiki bot menyeberangi Sungai Pahang untuk ke sekolah berdekatan.
Sejak awal tahun 1980an, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pasir Mandi yang tinggal di kampung terbabit tiada pilihan selain terpaksa menaiki bot untuk perjalanan sejauh 150 meter ke sekolah berkenaan yang terletak di Kampung Bukit Lada, Kerdau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Pulau Pasir Mandi, Abdul Halim Md. Saman berkata, biarpun atas nama kampung itu, namun SK Pulau Pasir Mandi terletak di Kampung Bukit Lada, Kerdau.
Menurutnya, sejak tahun 1980-an, murid-murid dari kampung terbabit terpaksa menaiki perahu menyeberangi Sungai Pahang untuk ke sekolah.
“Walaupun kini ada bot sekolah yang berulang alik menghantar dan mengambil murid ke sekolah itu, tetapi keselamatan anak-anak tetap menjadi kebimbangan ibu bapa.
“Sebelum ini pernah berlaku beberapa kali kemalangan perahu karam ketika berulang alik ke sekolah, namun tiada menyebabkan kematian,” katanya di sini semalam.
Abdul Halim berkata, akibat masalah tersebut, bilangan murid dari kampung itu yang belajar di SK Pulau Pasir Mandi semakin berkurangan setiap tahun kerana ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah lain walaupun jaraknya agak jauh.
“Kebanyakan ibu bapa menghantar anak ke SK Batu Sawar dan SK Teluk Sentang, Temerloh,” katanya.
Menurutnya, disebabkan terpaksa menaik perahu menyeberang sungai dan faktor keselamatan, maka tidak hairan berlaku keciciran murid pada peringkat rendah di kampung itu.
Bagaimanapun tambah beliau, keciciran murid meneruskan pelajaran banyak dipengaruhi oleh perasaan malas dan tidak berminat bagi meneruskan pengajian lebih tinggi.
“Faktor ekonomi mungkin bukan lagi alasan keciciran murid kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa kerajaan membina sekolah baharu di kampung ini tanpa perlu menyeberang Sungai Pahang yang penuh sejarah suka duka.
Beliau juga menyarankan agar kerajaan membina jambatan konkrit bagi menghubungkan Kampung Pulau Pasir Mandi dan Kampung Bukit Lada, Kerdau yang bersebelahan dan dipisahkan oleh Sungai Pahang. – UTUSAN










