Pendekkan jangka masa pakej haji

Pendekkan jangka masa pakej haji

KOS menunaikan haji dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbang untuk memendekkan tempoh mengerjakan haji yang kini sehingga 40 hari sebagai satu usaha menye­rap peningkatan kos.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, tempoh lebih sebulan itu bermakna jemaah perlu menanggung banyak kos terutama berkaitan penginapan.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) atau pengelola jemaah haji (PJH) boleh meneliti semula tempoh itu dengan mengkaji pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan jangka masa berada di Tanah Suci.

“Kalau ikutkan ibadah haji, waktu wajib dalam haji hanya bermula pada hari wukuf dan selesai pada hari tarbiyah atau hari bertahalul, jadi rukun wajibnya adalah wukuf. Wukuf pada 9 dan 10 Zulhijjah sudah boleh selesai rukun utama haji termasuk tawaf serta tinggal selama tiga hari (bagi meluangkan masa di Tanah Suci).

“Maknanya yang betul-betul penting ialah lima hari, jadi pakej 40 hari itu mungkin boleh dipendekkan kepada 30 hari untuk serap kenaikan kos.

“Memang Tabung Haji boleh beri subsidi untuk bantu orang ramai tunai haji tetapi dari sudut istitha’ah atau berkemampuan itu, jemaah sendiri perlu menyediakan dari sudut kewangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, jemaah haji pada tahun ini perlu menyediakan wang tambahan sekurang-kurangnya RM20,000 ekoran peningkatan kos perbelanjaan di Tanah Suci.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, peningkatan kos itu boleh diatasi dengan mewujudkan skim wakaf jemaah haji.

“Melalui cadangan ini, penyim­pan yang sudah menunaikan haji boleh mewakafkan sebahagian daripada baki simpanan ke tabung wakaf Tabung Haji. Tabung itu digunakan sebagai pelaburan dan menjadi pendapatan kepada Tabung Haji dan boleh digunakan untuk menampung pertambahan (kos) jemaah akan datang,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN