PETALING JAYA: Kaedah pembiayaan kewangan Islam di negara ini yang dikatakan tidak terdedah risiko kenaikan kadar hutang didakwa belum mematuhi konsep maqasid al-syariah sepenuhnya kerana masih tertakluk kepada peraturan tertentu berpaksikan faedah dan riba.
Institusi perbankan perlu mengekalkan kadar faedah maka tiada keraguan apabila kadar itu naik atau turun, namun apa yang berlaku kini, pembiayaan Islam juga memperkenalkan kadar faedah terapung (floating rate) sama seperti konvensional.
Konsep operasinya masih tertakluk kepada Bank Negara Malaysia (BNM), justeru apabila kadar dasar semalam (OPR) dinaikkan, ansuran bagi pembiayaan pinjaman didakwa turut meningkat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pembiayaan Islam di negara ini masih belum mematuhi syariah dan konsep maqasid al-syariah sepenuhnya kerana tertakluk kepada BNM dan peraturan antarabangsa seperti Basel III yang berpaksikan kadar faedah atau riba.
Katanya, atas fatwa darurat, pembiayaan Islam dibenarkan sementara proses membentuk satu sistem pembiayaan yang betul-betul patuh syariah, namun sudah lebih 50 tahun Malaysia masih menggunakan kaedah yang sama tanpa perubahan mengikut maqasid al-syariah.
“Jika mengikut pembiayaan Islam sebenar, institusi itu perlu menjana keuntungan dengan perniagaan dan pinjaman dan mengemukakan kontrak jual beli. Jadi, tidak boleh dipanggil bank dan sepatutnya diklasifikasikan sebagai peniaga,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia berkata, terdapat institusi yang memberikan pinjaman perumahan berlandaskan syariah seperti Ansar & Islamic Cooperative Housing Corporation di Kanada yang membolehkan individu membeli rumah tanpa pembiayaan bank.
“Selain itu, terdapat juga institusi di Pakistan dan Indonesia yang mempraktikkan Qardhul Hassan atau pinjaman yang tidak melibatkan faedah yang digabungkan dengan konsep hibah.
“Sebagai contoh, individu yang meminjam RM10,000 perlu membayar jumlah yang sama tanpa faedah, namun boleh memberi hibah mengikut nilai yang bukan ditetapkan oleh pihak pemberi pinjaman,” ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan, kerajaan perlu mempromosi dan memperkasakan pembiayaan Islam yang sebenarnya iaitu yang tidak melalui sistem kewangan sedia ada seperti bank, tetapi ke arah pembiayaan alternatif.
“Pembiayaan alternatif ini seperti konsep musharakah mutanaqisah untuk pembelian rumah yang dikendalikan oleh koperasi atau Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), atau konsep Qardhul Hassan untuk pembiayaan peribadi.
“Selain itu, boleh gunakan konsep mudharabah dan musharakah untuk pembiayaan perniagaan seperti Dana Pembiayaan Ekuiti (ECF), konsep langganan untuk kereta dan juga konsep muqassah (netting) untuk pembiayaan di peringkat kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, tidak dinafikan perbankan Islam di negara ini masih mengikut konvensional.
“Institusi perbankan Islam kita hanya islamik dari segi teknikal sahaja dan tiada ‘roh’ islamik itu sendiri kerana tidak berkongsi risiko dengan peminjam.
“Sebagai contoh, apabila individu ini membeli rumah dan kediamannya hancur kerana banjir, pihak pemberi pinjaman Islam perlu berkongsi risiko itu dengan peminjam dan mungkin peminjam tersebut tidak perlu lagi membayar pinjaman tersebut.
“Namun, perbankan Islam tidak mahu mengambil risiko, sama seperti konvensional sedangkan dalam Islam sendiri sudah diberitahu apabila peminjam ditimpa kesulitan, kita perlu ‘melonggarkan’ kesulitan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, sepatutnya, institusi perbankan perlu mengekalkan kadar faedah jadi tiada keraguan apabila kadar faedah naik atau turun, namun apa yang berlaku kini, pembiayaan Islam juga memperkenalkan kadar faedah terapung sama seperti konvensional,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid menafikan produk pembiayaan perbankan Islam tidak mematuhi syariah.
Beliau berkata, ini kerana mana-mana produk perbankan Islam itu sudah melalui dua tapisan iaitu jawatankuasa syariah di setiap institusi kewangan dan jawatankuasa induk syariah di Bank Negara Malaysia (BNM).
“Berkenaan OPR turun naik, mereka sudah ada produk pembiayaan di mana dibenarkan OPR naik turun, tetapi ada harga siling yang mana kebiasaannya ditetapkan bawah 10 peratus. Jadi ini adalah satu produk yang diluluskan jawatankuasa syariah di bank dan jawatankuasa syariah BNM,” tegas beliau. – UTUSAN










