Peguam tidak dibenar cabar kesahan pengampunan penuh Anwar

Peguam tidak dibenar cabar kesahan pengampunan penuh Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz gagal segala usaha untuk mencabar kesahan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya.

Perkara itu dimuktamadkan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak tanpa kos permohonan beliau untuk mendapat kebenaran merayu.

Dengan keputusan itu, peguam berkenaan selaku pemohon terlepas peluang untuk mengembalikan saman pemulanya agar didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpuas hati permohonan peguam itu kini akademik kerana komposisi Lembaga Pengampunan ditubuhkan secara sempurna di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk P. Nallini dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat turut berpendapat, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon gagal melepasi kehendak peruntukan Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CoJA) bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Pada hemat panel itu, Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati secara betul oleh Lembaga Pengampunan ketika memberi pengampunan penuh kepada Perdana Menteri.

Mahkamah malah berpendapat, dokumen Lembaga Pengampunan tidak merujuk kepada maksud bahawa sabitan terhadap Anwar bagi kesalahan liwat, diketepikan.

“Tidak timbul persoalan bahawa kuasa mahkamah `dirampas’. Kami berpuas hati isu yang dibangkitkan kini akademik dan menolak kedua-dua permohonan tanpa perintah terhadap kos,” ujar Ketua Hakim Negara.

Sebelum itu, mahkamah tertinggi negara mendengar penghujahan peguam-peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili pemohon, J. Leela bagi pihak Perdana Menteri dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Lembaga Pengampunan.

Mohamed Haniff Khatri berhujah, Yang di-Pertuan Agong tiada kuasa untuk mengetepikan sabitan kerana ia merupakan bidang kuasa mahkamah.

Sementara itu, Leela pula berhujah, writ saman yang difailkan oleh pemohon tidak menyatakan sebarang remedi serta gagal menunjukkan beliau mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi untuk mempertahankan saman itu.

Suzana pula berhujah, keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan merupakan kuasa prerogatif yang tidak boleh dipertikai di mahkamah.

Mohd. Khairul Azam memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan saman pemulanya untuk mencabar kesahan pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung kes liwat.

Pada 21 September 2021, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Has Zanah Mehat yang bersidang bersama Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak dan Datuk Lee Heng Cheong membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan tanpa kos.

Panel itu berpuas hati Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak mematuhi senarai autoriti Mahkamah Persekutuan terdahulu bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan merupakan kuasa prerogatif yang tidak boleh dipertikai atau disahkan di mahkamah.

Pada hemat panel tersebut, mahkamah tiada bidang kuasa mendengar prosiding pertikaian seperti itu kerana kuasa pengampunan termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang mana ia tidak terhad kepada hukuman, malah turut melibatkan sabitan.

Hakim Has Zanah turut menyatakan peguam itu tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mempersoal pengampunan penuh yang diberikan oleh Seri Paduka kepada Anwar.

Mahkamah berpendapat, proses pengampunan itu tidak dalam mana-mana cara menyerang atau memberi kesan kepada kepentingan peribadi mahupun haknya di sisi undang-undang.

Mahkamah Tinggi pada 21 September 2020 menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula Mohd. Khairul Azam selepas berpuas hati selaku orang awam dan peguam, beliau mempunyai hak di sisi undang-undang memfailkan saman berkenaan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berpuas hati, saman itu melibatkan prosedur dan undang-undang serta boleh didengar di mahkamah kerana Yang di-Pertuan Agong ketika itu menjalankan fungsinya sebagai cabang Eksekutif sewaktu memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dalam saman pemula difailkan pada 26 Februari 2020, Mohd. Khairul Azam berkata, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Mohd. Khairul Azam mendakwa, walhal lembaga itu belum dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Beliau juga mendakwa susulan pilihan raya itu, beberapa tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan yang membawa kepada pembebasannya dari penjara.

Anwar dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, dan sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN