Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN tiga negeri - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN tiga negeri – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang sewaktu berucap pada majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama PN dan Kenduri Rakyat di Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pas akan membuat keputusan sendiri bilakah tarikh yang dilihat sesuai bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga buah negeri ditadbir parti itu ketika ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan akan dibuat di peringkat parti itu terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum tarikh sesuai dapat ditetapkan.

“Kami akan berbincang antara kami sendiri, terpulang kepada kami, sama ada mereka (Pakatan Harapan) mahu ikut ataupun tidak. Selama ini banyak mereka ikut kami, kami buat kenyataan sebelum ini tidak ikut Parlimen (Pilihan Raya Umum Ke-15) mereka ikut juga.

“Saya tidak tahu terpulang kepada mereka, kami ada keputusan kami sendiri, akan dibincang dalam mesyuarat akan datang, insya-Allah untuk menentukan PRN.

“Kami akan bincang sesama kami dahulu, itu yang penting, kami sedang mengkaji, kesan-kesan kepada pengundi, pengundi luar, mahasiswa, pengundi muda, orang cuti balik hari raya, itu semua perlu dikaji,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama PN dan Kenduri Rakyat di Seri Menanti di sini hari ini.

ABDU Hadi Awang (tengah) pada sidang akhbar selepas hadir ke majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama PN dan Kenduri Rakyat di Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini. Hadir sama, Nain Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, satu pertemuan di antara Menteri besar dan Ketua Menteri enam negeri yang belum mengadakan PRN dijangka akan diadakan bagi membincangkan tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya tersebut bersama-sama.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertemu rakan sejawat mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi membincangkan perkara berkenaan.

Jelas, pertemuan itu bagi diputuskan bersama-sama tarikh dan kemudian akan dimaklumkan bersama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tarikh yang sesuai untuk diadakan PRN.

Aminuddin juga ada memberi jangkaan untuk DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada bulan Mei depan bagi memberi laluan PRN diadakan sama ada pada Jun atau Julai.

Sementara itu, ketika ditanya tindakan UMNO Terengganu yang mencabar kemenangan Pas di Parlimen Marang dan dua Parlimen lain iaitu Kuala Terengganu dan Kemaman menerusi petisyen pilihan raya yang dikemukakan baru-baru ini, Abdul Hadi menyifatkan ia merupakan satu tindakan gerak saraf.

“Itu gerak saraf, mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri, tetapi orang awam mahu beri sedekah terpulang kepada dia,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Marang.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya memfailkan petisyen berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas alasan dakwaan wujud rasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen itu sepanjang tempoh kempen PRU15.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.