PETALING JAYA: Mencari minit permainan menjadi sebab Hadin Azman memilih untuk menyarung jersi Negeri Sembilan FC bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
Hadin telah menjaringkan lima gol dan tiga bantuan gol pada musim lalu bersama Penang FC berkata, secara peribadi dia tidak berpuas hati dengan prestasi dirinya sendiri.
“Pada musim baharu, saya akan cuba untuk mendapatkan lebih minit permainan dan berusaha untuk menjaringkan gol untuk Negeri Sembilan dan diri saya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kehadiran Mohamad Ikhwan Yazek dari Kelantan FC dan Hein Thet Aung yang dipinjamkan dari Selangor FC akan menyumbang kualiti lebih baik buat pasukan.
“Setiap pemain ada kualiti tersendiri dan kami akan cuba memahami antara satu sama lain,” katanya lagi.
Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut mengakui dirinya masih memasang cita-cita untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan.
Hadin yang sedang giat melaksanakan persiapan bersama pasukan juga menegaskan, persefahaman antara pemain sedang dibentuk dan akan diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain import yang akan menyarung jersi Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Dalam masa yang sama, Hadin turut menyeru kepada semua penyokong Negeri Sembilan untuk terus memberikan sokongan kepada kelab sebagai motivasi kepada pemain untuk menghadapi perlawanan yang akan mendatang.-UTUSAN










