Negeri Sembilan luluskan garis panduan tapak perkhemahan - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan luluskan garis panduan tapak perkhemahan

J. ARUL Kumar menunjukkan dokumen Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan di Negeri Sembilan yang telah diluluskan kerajaan negeri pada bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan di Negeri Sembilan telah diluluskan kerajaan negeri dengan tujuan utama memastikan keselamatan pengunjung di tapak perkhemahan terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, garis panduan itu telah disediakan selepas mengambil iktibar kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada tahun 2022.

Sehubungan itu, kerajaan negeri komited mewujudkan suatu permit khas dan kelulusan kepada semua pengusaha tapak perkhemahan yang sedang dan telah beroperasi yang ketika ini tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“GPP ini merangkumi perancangan tapak perkhemahan, mekanisme kemajuan dan kawal selia tapak perkhemahan serta pengurusan operasi tapak perkhemahan. Ia turut menggariskan beberapa elemen penting di dalam perancangan tapak perkhemahan.

“Ia termasuklah kesesuaian lokasi dan tapak, zon guna tanah yang dibenarkan, peletakan plot khemah, penyediaan kemudahan asas dan penyediaan utiliti bersesuaian bagi pembangunan sesebuah tapak perkhemahan.

“GPP ini akan menjadi satu rujukan yang utama untuk kita membolehkan tapak-tapak perkhemahan asas atau premium ini boleh dilesenkan. Kita perlu melesenkan supaya ia mematuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, turut ditekankan dalam garis panduan berkenaan adalah panduan kepada tapak perkhemahan sedia ada iaitu merujuk kepada yang telah beroperasi sebelum 1 Januari tahun ini.

“Tiada sebarang denda dikenakan dalam tempoh pemutihan ini, tempoh masa diberikan adalah sehingga 31 Disember 2024 di mana pemohon perlu mengemukakan permohonan permit bangunan sementara (PBS) daripada PBT.

“Jika tidak hantar apa-apa permohonan kepada PBT sebelum hujung tahun ini maka tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuk sitaan kawasan tersebut. Tindakan tegas ini diambil untuk memastikan semua tapak perkhemahan yang selamat sahaja dibenarkan beroperasi,” kata beliau.

Arul Kumar turut menjelaskan, tujuan GPP tapak perkhemahan ini diperkenalkan juga adalah untuk memperoleh rekod jumlah sebenar tapak perkhemahan yang beroperasi di negeri.

“Memang sebelum ini kita tidak mengetahui berapa jumlah tapak perkhemahan yang ada, mungkin PBT ada merekodkan tetapi ada juga tapak perkhemahan yang beroperasi di luar kawasan PBT, di dalam hutan contohnya jadi saya harap dalam tempoh enam bulan ini kita dapat data-data tapak perkhemahan ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, turut ditegaskan adalah sebarang tapak perkhemahan adalah tidak dibenarkan didirikan di kawasan pantai awam milik kerajaan negeri.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN