PETALING JAYA: Enam negeri yang belum meluluskan Akta Anti Lompat Parti termasuk dua yang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tahun ini berisiko mencetuskan ketidakstabilan politik sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.
Enam negeri yang belum berbuat demikian adalah Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Terengganu dan Kedah.
Ketiadaan akta berkenaan dikhuatiri tidak mampu menyekat pergolakan politik yang berterusan seperti yang berlaku di Sabah ekoran tindakan wakil rakyat keluar parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua pihak mesti bersedia menyaksikan situasi wakil-wakil rakyat melompat parti jika rang undang-undang larangan ADUN bertukar parti lewat diluluskan.
Bekas Ahli Parlimen Santubong itu berharap Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya undang-undang yang melarang ahli Parlimen bertukar parti diseragamkan di setiap negeri.
“Kebebasan yang diberi pada negeri-negeri sekarang ialah tiada paksaan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan negeri. Tetapi, kerajaan Persekutuan juga memberi kebebasan untuk negeri menyesuaikan undang-undang yang sama secepat mungkin.
“Walaupun falsafah kerajaan ketika itu undang-undang berkenaan untuk Persekutuan, namun kerajaan negeri sepatutnya akur pada prinsip ini. Saya bimbang akan berlaku keadaan yang mana wakil-wakil rakyat negeri akan melompat parti.
“Jadi, kita kena melihat pada kepentingan rakyat dan negara. Jika kestabilan politik tidak dapat ditetapkan oleh pusat dan negeri, ekonomi akan terjejas dan pelabur asing tidak lagi akan melabur,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, semasa berada dalam Kabinet, beliau sendiri mengusul bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu menghantar surat menyatakan kepada semua kerajaan negeri supaya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Persekutuan, selain arahan daripada Yang di-Pertuan Agong supaya undang-undang sama diguna pakai di peringkat negeri.
“Apabila Parlimen terbubar, saya tidak lagi berkuasa untuk pergi ke negeri-negeri bagi mengusul perkara tersebut yang mana Persekutuan memberi cadangan kepada
setiap negeri kalau perlu berjumpa Agong, Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat negeri supaya meminda perlembagaan negeri.
“Walaupun ada negeri yang belum luluskan, namun hakikatnya Persekutuan mahu merintiskan jalan untuk negeri membuat perkara sama. Kena tunjukkan bahawa kita bertanggungjawab. Jangan tunggu rakyat marah.
“Rakyat yang mendorong kerajaan pusat membuat undang-undang itu adalah rakyat yang sama yang sepatutnya mendorong negeri menerima pakai undang-undang di peringkat negeri,” katanya.
Pada 28 Julai 2022, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan dengan undi lebih dua pertiga dewan.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berjanji akan membentangkan Akta Anti Lompat Parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun beliau bersama 15 ADUN bertindak keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus mencetuskan kemelut politik di negeri itu.
Peristiwa itu seharusnya dijadikan sebagai amaran kepada pemimpin-pemimpin di negeri yang belum melaksanakan akta lompat parti kerana ketidakstabilan politik boleh berlaku bila-bila masa meskipun kerajaan negeri mempunyai majoriti mudah atau dua pertiga dalam DUN masing-masing. – UTUSAN










