ROURKELA: Malaysia perlu mengelak melakukan kesilapan dalam misi perlawanan mesti menang ke atas Chile dalam aksi kedua hoki Piala Dunia 2023 di sini hari ini.
Corak permainan pasukan negara pastinya lebih menyerang bertemu Chile berbanding mengambil pendekatan bersabar dan menanti kesilapan dilakukan lawan ketika menentang Belanda kelmarin.
Justeru, jurulatih skuad negara, A Arul Selvaraj menuntut kemenangan daripada anak-anak buahnya selepas mereka telah diberikan maklumat mengenai setiap pemain Chile terutama penyerang berbahaya pasukan lawan, Martin Rodriguez.
“Pemain perlu tunjukkan persembahan terbaik bertemu Chile. Kami yakin akan keluar beraksi lebih menyerang menentang mereka,” jelasnya.
Dalam perlawanan pembukaan kelmarin, dua kesilapan dilakukan termasuk memberikan satu penalti stroke yang mudah membolehkan Belanda meledak dua gol dalam suku masa kedua ketika tewas 0-4 di Stadium Hoki Birsa Munda.
Situasi tersebut amat merugikan kerana Speedy Tigers sudah berjaya mengekang setiap kemaraan naib juara 2014 dan 2018 itu sepanjang tempoh 15 minit pertama.
Sebenarnya, skuad bimbingan Arul boleh menggegar gawang Belanda dan mengejutkan gergasi No. 3 dunia itu jika dapat menyempurnakan empat pukulan sudut penalti yang diraih dalam aksi tersebut.
Walaupun tewas 0-4 tetapi prestasi para pemain secara keseluruhan dilihat agak memberasangkan kerana masih berupaya melakukan beberapa percubaan ke arah gawang bekas juara dunia tiga kali itu.
Jika Malaysia memperbaiki kelemahan dan menajamkan penyudah, tidak mustahil pasukan negara di ranking ke-11 dunia itu mampu menewaskan Chile dalam aksi kedua Kumpulan C hari ini.
Jentera serangan diketuai Faizal Saari boleh menjadikan kawasan bawah sebelah kiri penjaga gol Chile, Adrian Henriquez sebagai ‘lubuk’ kelemahan dalam usaha mencari gol.
Ia berdasarkan situasi penjaga gol Chile itu gagal menepis tiga percubaan New Zealand yang menyerang sudut itu yang akhirnya terhasil tiga gol buat mereka dalam tempoh sembilan minit ketika menang 3-1 kelmarin.
Justeru, Malaysia perlu turun dengan permainan menyerang dan melakukan asakan bertali arus sebaik wisel bermula bagi ‘membunuh’ perjuangan Chile seawal yang mungkin. – UTUSAN










