Minyak masak paket dan telur masih tiada di pasaran

Minyak masak peket dan telur masih tiada di pasaran

PEMBANTU gerai goreng pisang, Mohamad Hakimi Afka menuang minyak masak botol menggantikan minyak masak paket yang sukar diperolehi di Taman Ria Jaya, Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Isu kekurangan bekalan minyak masak peket dan telur di daerah ini belum menampakkan jalan penyelesaian apabila bahan mentah itu masih sukar diperolehi sejak dua minggu lalu.

Keadaan ini menyebabkan pengguna khususnya peniaga kecil berdepan tekanan kerana kehilangan punca pendapatan ekoran tidak dapat berniaga.

Malah, mereka turut terpaksa mengeluarkan kos tambahan mencari bekalan itu di serata kawasan di daerah lain termasuk terpaksa berkorban masa hanya untuk mendapatkan barangan tersebut.

Peniaga kuih-muih di pasar pagi di Laguna Merbok, Zainah Zakaria, 48, yang tinggal di Taman Ria berkata, sejak dua minggu lalu dia buntu kerana sukar memperoleh minyak masak peket dan telur gred C di pasaran.

“Merata-rata tempat saya cari namun bekalan itu tiada menyebabkan sukar untuk saya membuat kuih bagi mencari pendapatan.

“Kedua-dua bekalan itu memang penting dan ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan harian saya yang bergantung kepada perniagaan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar borong di daerah ini mendapati tiada bekalan minyak masak peket dan telur gred C dipamer atau dijual di premis-premis terlibat.

Peniaga gerai makan di Bandar Utama, Rahim Chik, 53, berkata, kesukaran memperolehi minyak masak peket sejak dua minggu lalu menyebabkan dia terpaksa beralih menggunakan minyak botol yang lebih tinggi harganya.

“Minyak masak botol lima kilogram berharga RM24 memang senang didapati tetapi sebagai peniaga kecil tentunya ia tidak berbaloi untuk perniagaan kami.

“Pelbagai alasan diberikan oleh peniaga apabila kami bertanya bekalan minyak masak antaranya mereka tidak mendapat bekalan daripada pembekal atau barangan belum sampai walaupun pesanan telah lama dibuat,” katanya.

Peniaga goreng pisang di Taman Ria Jaya, Maimun Ali, 43, berkata, turut mengakui kesukaran mendapatkan minyak masak peket sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa
mengurangkan jumlah goreng pisang yang dijualnya.

“Sebelum ini saya guna tiga tandan pisang pelbagai jenis untuk digoreng berbanding sekarang hanya satu atau dua tandan sahaja bagi mengurangkan penggunaan minyak masak. Memang terjejas pendapatan saya hanya kerana ketiadaan bekalan minyak masak peket,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.