Mansuh pencen anggota Kabinet jimat RM150 juta

Mansuh pencen anggota Kabinet jimat RM150 juta

Penghapusan sistem pencen tersebut tidak boleh diubah serta merta untuk anggota Kabinet yang sedang berkhidmat dan telah tamat khidmat kerana kontrak sedia ada tidak boleh diubah kecuali mereka sendiri bersetuju. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mampu menjimatkan RM100 sehingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.

Bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen adalah RM100 hingga RM150 juta setahun.

Katanya, mereka sepatutnya tidak perlu diberikan pencen kerana ia dibayar berdasarkan cabang sistem eksekutif, bukan legislatif dan cukup sekadar mengambil gratuiti yang lumayan.

“Jika mengikut sistem kerajaan sekarang, bagi pencen bekas ahli parlimen yang layak sahaja kita (kerajaan) menanggung lebih kurang RM10 juta perbelanjaan setiap tahun.

“Sebanyak 99 peratus daripada kutipan cukai negara digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti pencen anggota Kabinet dan hanya satu peratus sahaja digunakan untuk pembangunan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, perbelanjaan mengurus dalam jumlah besar itu antara faktor menyebabkan negara terpaksa berhutang pada setiap tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, penghapusan sistem pencen tersebut tidak boleh diubah serta merta untuk anggota Kabinet yang sedang berkhidmat dan telah tamat khidmat kerana kontrak sedia ada tidak boleh diubah kecuali mereka sendiri bersetuju.

“Perkara ini perlu diberi pertimbangan oleh kerajaan bermula dari sekarang walaupun sepatutnya difikirkan daripada dahulu lagi.

“Kita mesti meletakkan satu hala tuju perubahan kerana kebajikan negara lebih penting daripada segala-galanya berbanding parti politik dan pemimpin,” ujarnya.

Terdahulu, Noor Amin lantang membahaskan isu gaji dan pencen membabitkan anggota Kabinet dalam Dewan Rakyat dan menggesa ianya dikaji semula untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq juga pernah menggesa isu berkenaan diteliti pada September 2021, mendakwa ahli politik boleh menikmati pencen dari pelbagai sumber dan setiap jawatan yang boleh melebihi RM100,000 sebulan selain pelbagai faedah dan emolumen semasa berkhidmat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN