PETALING JAYA: Siasatan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 mencakupi pelbagai sudut termasuk mengumpul maklumat daripada pekerja, ejen, keluarga serta pemiiknya.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang giat mengumpul maklumat berhubung kehilangan kapal tersebut pada 9 Januari lalu yang masih belum dapat dirungkai setakat ini.
Kata sumber itu, maklumat daripada keluarga juga diambil bagi membantu mengesan kapal berkenaan.
“Buat masa ini kes sedang disiasat jika ada unsur-unsur lain berhubung kehilangan kapal kargo berkenaan.
“Tindakan itu dibuat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal MV Dai Cat 06 berkenaan ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia kelmarin,” katanya.
Dalam pada itu, satu sumber lain memberitahu, kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari Pelabuhan Lumut, Perak pada 24 Disember lalu kira-kira pukul 6.30 pagi.
Jelas sumber itu, kapal berkenaan sepatutnya tiba ke pelabuhan terakhir pada 9 Januari lalu bergantung kepada keadaan cuaca.
“Pelepasan kapal berkenaan di pelabuhan akan diuruskan oleh ejen yang dibayar oleh syarikat.
“Ejen hanya menguruskan pelepasan kapal berkenaan, namun keadaan kapal serta proses perjalanan kapal di sepanjang perairan berada di bawah tanggungjawab syarikat dan pemilik kapal itu sendiri,” katanya.
Jelas sumber itu, setiap pelabuhan mempunyai ejen masing-masing yang akan menguruskan kemasukan kapal kargo.
“Bila sampai satu-satu pelabuhan lain, ejen berasingan yang akan bertanggungjawab dengan pemantauan daripada agensi penguatkuasa yang ada di situ,” ujarnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, usaha pencariannya ditamatkan selepas bot SAR RIB 03 tidak menemukan sebarang petunjuk.
Namun begitu, sekiranya terdapat petunjuk baharu berkaitan keberadaan kapal tersebut, operasi SAR akan diaktifkan semula.
Dalam pada itu, ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, yang juga warga tempatan dikatakan ada berhubung dengan keluarganya pada 1 Januari lalu.
Mohammad Syafarizan ada menghubungi keluarganya semasa kapal berkenaan berada dalam perairan Tanjung Penyusop, Johor sebelum kapal itu dilaporkan hilang.
Mohammad Syafarizan juga ada memuat naik hantaran sebuah rakaman video ketika berada di atas kapal memaklumkan keadaan laut yang bergelora. – UTUSAN










