PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mempergiatkan promosi bagi inisiatif-inisiatif yang diwujudkan untuk kegunaan mahasiswa supaya ia benar-benar membantu golongan itu.
Antara inisiatif tersebut adalah portal Rumah Siswa yang sepatutnya membantu mahasiswa mendapatkan rumah sewa sekiranya tidak mendapat penempatan dalam universiti.
Namun, kebanyakan pelajar tidak mengetahui mengenai portal tersebut walaupun ia sudah wujud sejak tahun 2021 menyebabkan mahasiswa mengambil daya usaha sendiri mencari rumah sewa.
Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Syazwanee Anuar, 24, berkata, dia bersama rakan menghabiskan RM3,000 untuk menyewa sebuah rumah kedai yang dikongsi seramai 18 penyewa lain.
NOTIS
Jelasnya, perkara tersebut terjadi kerana notis keputusan permohonan untuk mendapatkan kolej dalam kampus keluar terlalu lewat iaitu seminggu sebelum semester baharu bermula mengakibatkan mereka terpaksa berebut rumah sewa.
“Jika kami tahu mengenai portal Rumah Siswa, mungkin akan jadi lebih mudah untuk kami dapatkan rumah dalam jangka masa pendek tersebut. Namun, saya sudah bertanya kepada rakan lain juga mereka turut tidak tahu mengenai inisiatif itu.
“Portal tersebut memang seperti tidak berfungsi, semua pelajar memang cari sendiri sahaja rumah sewa untuk mereka duduk. Jika boleh, ia dipromosikan dengan lebih meluas dan keputusan permohonan kolej itu dikeluarkan lebih awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia dalam laporan khasnya melaporkan, pengambilan pelajar yang tidak seimbang dengan kapasiti kemudahan penginapan di dalam kampus menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan sehingga terpaksa mencari rumah sewa dan menanggung perbelanjaan melebihi RM1,000 sebulan untuk tujuan itu.
AKUI
Sementara itu, seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohammad Fitri A. Yazid mengakui hanya tahu mengenai portal Rumah Siswa semasa ditanya mengenai perkara tersebut.
Katanya, portal tersebut mempunyai kelebihan dalam membantu pelajar menyelesaikan isu yang ‘mendera’ mereka sebelum mula sesi pembelajaran, namun ia tidak diuar-uarkan secara meluas kepada semua mahasiswa.
“Portal Rumah Siswa tu memang usaha bagus tetapi maklumatnya tidak sampai dengan baik. Saya yakin pelajar lain turut berpendapat sama.
“Antara usaha lain KPT boleh membantu adalah mewujudkan lebih banyak kolej penempatan, saya pasti ia boleh menyelesaikan isu mengenai rumah sewa ni,” katanya. – UTUSAN










