Lari cukai RM8 bilion

Lari cukai RM8 bilion

DR. MOHD. NIZOM SAIRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 183,122 individu lari daripada memba­yar cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah keseluruhan tertunggak RM8 bilion sehingga 31 Disember 2022.

Mereka yang mengelak dari­pa­da tanggungjawab itu bukan sa­haja melibatkan rakyat Malaysia tetapi warga asing yang turut sama gagal menjelaskan cukai pen­dapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi berkata, peratusan pem­bayar cukai yang masih mem­punyai tunggakan cukai sehingga Disember 2022 ialah bersamaan dengan 15.26 peratus bagi ka­tegori pembayar cukai syarikat.

“Sebanyak 8.84 peratus bagi kategori pembayar cukai selain syarikat. Mereka yang mengelak daripada membayar cukai ini te­lah dikenakan tindakan sekatan perjalanan.

“Walau bagaimanapun jika dilihat trend jumlah pembayar cukai yang mempunyai tungga­kan ini adalah menurun jika di­bandingkan dengan jumlah data yang direkodkan pada tahun 2021 iaitu 10.58 peratus,” katanya.

Beliau menegaskan kegaga­lan membayar cukai akan me­ngakibatkan pendapatan negara merosot di saat kerajaan me­nanggung angka hutang men­cecah hampir RM1.5 trilion.

Hal ini kerana jelasnya, kutipan cukai langsung ini me­nyum­bang lebih 50 peratus da­ripada jumlah pendapatan ne­gara.

“Amat tidak adil jika majoriti rakyat bayar cukai, tetapi segelintir pihak enggan berbuat demikian. Ibarat kita tinggal di rumah pangsapuri, tetapi mereka tidak bayar caj penyelenggaraan boleh menikmati kemudahan seperti pembayar lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nizom memberitahu, LHDN dijangka mencipta rekod baharu dalam jumlah kutipan hasil cukai kepada negara berban­ding tahun sebelum ini walaupun berhadapan cabaran kemorosotan ekonomi sepanjang 2022.

Tanpa memperincikan jumlah itu, beliau memberitahu pihaknya telah menyasarkan kutipan sebanyak RM139 bilion pada tahun ini.

“Alhamdulillah, pada tahun ini kita telah berjaya mencipta rekod baharu dalam jumlah kutipan hasil kepada negara iaitu satu angka terbaik yang pernah direkodkan oleh kita bagi mengekalkan status selaku agensi nombor satu pe­nyumbang kepada hasil negara.

“Namun jumlah kutipan sebenar akan dimaklumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kutipan hasil meningkat atau menurun tahun ini, Mohd. Nizom hanya menjelaskan LHDN optimis terhadap sebarang jumlah pada tahun mendatang walaupun pelbagai rintangan dan cabaran yang akan dihadapi.

Hal ini kerana ujar beliau, peningkatan dan penurunan kutipan hasil pasti akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor penyumbang kepada jumlah kutipan.

“Ekonomi Malaysia diunjurkan menyederhana antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus dan dijangka tahun 2023 merupakan tahun getir daripada segi ekonomi berikutan dakwaan kemelesetan ekonomi dunia terutama di negara besar se­perti di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Russia.

“Harga barang dan kadar inflasi yang terus meningkat turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Ini pastinya menekan golongan berpendapatan pertengahan, yang merupakan antara golongan individu pembayar cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN