Kos sebenar KSSA belum pasti – MB

Kos sebenar KSSA belum pasti – MB

Stadium Shah Alam
STADIUM Shah Alam akan dibangunkan semula oleh kerajaan negeri Selangor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kos pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tidak tertumpu stadium utama sahaja, sebaliknya termasuk kemudahan-kemudahan lain.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menolak pendedahan kos pembinaan semula stadium sebanyak RM1.3 bilion dan memaklumkan masih belum pasti jumlah sebenar kerana ia perlu di­semak terlebih dahulu.

“Tanyalah pada sumber, mana dia dapat (RM1.3 bilion). Saya pun tak tahu angka itu lagi. Saya tak pasti lagi sebab perlu disemak terdahulu. Tetapi, ke­seluruhan pembangunan bukan stadium itu sahaja, tetapi semua sekeliling akan jadi hab untuk rakyat.

“Saya tak pasti angkanya berapa, tetapi nanti kita akan maklumkan kemudian. Kalau letak (kos) dekat stadium sahaja nampak tak betullah, kecuali kalau keseluruhan kompleks,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, beliau turut mengesahkan pembangunan se­mula KSSA yang merangkumi Stadium Shah Alam, Stadium Malawati dan Stadium Mini di atas tapak seluas kira-kira 77 hektar akan melibatkan pertukaran tanah dengan pemaju.

Bagaimanapun, Amirudin menjelaskan, proses pertukaran tanah belum dibincangkan lagi sebaliknya, kerajaan negeri memfokuskan kepada pemba­ngunan stadium terlebih dahulu.

“Memang land swap, mula-mula dalam perancangan asal sebahagian daripada kompleks stadium itu diserahkan kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Sama formula dengan pembinaan Stadium Bukit Jalil.

“Tetapi, dalam perancangan terbaharu yang kita bersetuju, keseluruhan kompleks itu tak akan disentuh untuk pemba­ngunan lain kecuali stadium dan beberapa keperluan seperti dewan dan sebagainya.

“Kemudian, semuanya jadi milik negeri. Land swapping akan dibuat di tempat lain. Itu (kawasan) tidak dibincangkan lagi, fokus sekarang adalah untuk siapkan stadium,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pembangunan semula KSSA masih berjalan seperti dijadualkan dan dijangka mula dibina pada suku pertama tahun ini.

“Kalau mula pada tahun ini, bermakna KSSA akan siap pada 2025, 2026 pula siap sepenuh­nya termasuk sambungan ke Stesen LRT, serta taman-taman disekelilingnya. Pembinaannya dalam tempoh dua tahun.

“Saya yakin dalam suku pertama tahun ini akan dapat di­mulakan pembinaannya, tetapi kalau ada sebarang perubahan, saya akan umumkan mungkin dalam masa terdekat, kalau ada. Seperti penangguhan dan sebagainya. Hanya tunggu kebenaran merancang untuk mulakan pembinaan,” ujarnya.

Julai tahun lalu, Amirudin menyaksikan penyerahan surat niat (LOI) oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Haris Kasim kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akhbar Khan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN