KJ enggan buat rayuan, tak percaya Presiden

KJ enggan buat rayuan, tak percaya Presiden

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan UMNO memecat keahliannya kerana tidak mempercayai undang-undang parti yang didakwanya dikawal oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, jika dirinya telah dibuang tanpa mengikut proses dan prosedur yang betul seperti mana termaktub dalam Perlembagaan UMNO, bagaimana dia boleh mendapat proses yang betul jika membuat rayuan.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menyelar pemecatannya dan penggantungan beberapa pemimpin lain yang tidak mengikut prosedur dan ia hanya menunjukkan tindakan tersebut dibuat atas kehendak pucuk pimpinan tanpa mengambil kira keadilan.

TUNJUK SEBAB

“Saya tidak dihantar apa-apa surat tunjuk sebab dan (pemecatan) tidak mengikut proses biasa. Sepatutnya kita dihantar surat tunjuk sebab serta akan ada keterangan di depan Lembaga Disiplin tetapi prosedur itu tidak dibuat serta terus dipecat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Apabila saya sudah dipecat, sudah pasti perlu fikir tentang masa depan politik, apakah langkah seterusnya. Ada yang kata minta buat rayuan tetapi saya tidak yakin dengan undang-undang ‘rimba’ dipakai oleh Presiden.

“Pemecatan pun dibuat tanpa mengikut proses betul, jadi saya tak yakin jika hantar rayuan pun ia akan dilayan dengan adil, saya rasa buang masa sekiranya membuat rayuan kalau ini cara dia buang saya.

“Tidak ada keadilan dalam soal pemecatan ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kediaman di sini semalam.

Khairy dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain itu, beberapa pe­mimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

PELAWAAN

Ketika ditanya berkenaan hala tujunya dalam arena politik negara, Khairy mengakui menerima pelbagai pelawaan untuk memasuki parti-parti lain sejak pemecatannya daripada UMNO.

Namun begitu, Khairy enggan memikirkan soal tersebut kerana ‘jiwanya’ masih bersama dengan UMNO memandangkan beliau bukan melompat parti tetapi dipecat.

“Ramai dah mesej, tak perlu saya beritahu siapa atau daripada parti mana tetapi saya memberi jawapan yang sama iaitu beri saya masa dahulu untuk memikirkan soal masa depan dan platform mana sesuai.

“Bagi saya, saya masih lagi orang UMNO walaupun dipecat sebagai ahli. Saya tak tinggalkan parti tetapi MT yang pecat saya. Hati masih UMNO, jadi nak pilih wadah lain agak sukar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN