KJ ada empat pilihan

KJ ada empat pilihan

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rehat, bersara, menyertai parti lain atau menu­buhkan wadah politik baharu adalah empat pilihan bagi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dipecat daripada parti itu.

Keempat-empat pilihan itu bagaimanapun mempunyai risiko yang mana sekiranya tersilap langkah boleh menyebabkan karier politik gelap dan perlu berundur daripada terus berada dalam pentas politik.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Maz­lan Ali berkata, mengambil contoh Khairy sendiri selaku pemimpin muda berwawasan yang diramalkan mempunyai masa depan, kini berisiko me­nemukan kegagalan jika tersilap percaturan politik.

OPORTUNIS

Katanya, karier politik bekas Menteri Kesihatan itu boleh berakhir sekiranya menyertai parti pembangkang di samping terus mengkritik kepimpinan UMNO kerana beliau bakal dilihat sebagai seorang pemimpin oportunis dalam kalangan akar umbi.

“Justeru, buat pada masa ini Khairy boleh bergerak dengan terus memberi khidmat kepada rakyat sama ada menerusi pertubuhan bukan kerajaan, yayasan dan badan pemikir. Ini adalah lebih baik jika menentang parti dan akhirnya dibenci oleh ahli UMNO sendiri.

“Kalau kita lihat Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dipecat tetapi beliau tidak melatah dan akhirnya diterima UMNO, malah menjadi Presiden parti dan Perdana Menteri. Jika Khairy dapat bersabar dengan tidak menyer­tai parti lain, beliau mempunyai masa depan lebih cerah,” katanya.

Khairy dan Noh dipecat sebagai ahli UMNO dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu kelmarin berikutan pe­langgaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Mazlan, masa depan Khairy juga berisiko kelam jika bertindak menubuhkan parti baharu kerana beliau tidak mempunyai pengaruh besar sepertimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengasaskan PKR selepas disingkirkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

REKOD

“Khairy juga mempunyai rekod tidak begitu baik ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan bapa mertuanya ketika menjadi Perdana Menteri apabila didakwa mempengaruhi urusan kerajaan sehingga digelar ‘budak tingkat empat’.

“Tetapi amat sayang kalau Khairy bersara daripada politik kerana beliau masih muda dan mempunyai banyak peluang. Justeru, beliau kena bersabar dan tidak terburu-buru buat keputusan serta hentikan terus mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Sementara itu, geostrate­gis, Dr. Azmi Hassan berkata, keputusan menggantung dan pemecatan beberapa pemimpin UMNO bukan disebabkan mereka mengkritik parti sebaliknya, telah mensabotaj parti khusus­nya pada PRU15.

Katanya, pelbagai tafsiran tercetus daripada hasil keputusan itu sehingga mengatakan UMNO akan menjadi lemah pada masa akan datang.

“Isu pembersihan dalaman ini telah dilihat dalam pelbagai sudut dan andaian namun jika melihat keputusan itu, ia dibuat kerana wujud sabotaj dalaman UMNO. Namun tindakan ini bukan hanya mengatakan mengkritik kepimpinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN