Kereta elektrik bawah RM100,000 boleh dibangunkan - Utusan Malaysia

Kereta elektrik bawah RM100,000 boleh dibangunkan

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan kereta elektrik (EV) mampu dijadikan sebagai salah satu kenderaan utama pada masa akan datang terutama jika kerajaan mampu menetapkan harga di bawah RM100,000 menerusi pemasangan di dalam negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha tersebut mampu direalisasikan menerusi kerjasama syarikat pengeluar kereta di samping pembinaan kilang pemasangan di negara ini.

Menurut beliau, Malaysia juga tiada masalah berkaitan sumber bagi pembangunan dan penggunaan kereta tersebut dan jika usaha ini berjaya, usaha memastikan negara rendah karbon juga akan berjaya.

“Cuma kita tidak mahu golongan berpendapatan tinggi (T20) sahaja boleh pakai. Sekurang-kurangnya kita sasarkan golongan pertengahan (M40) pun boleh pakai.

“Kos perkara paling penting dan kenderaan elektrik tidak boleh diarusperdanakan begitu sahaja tanpa rakyat boleh gunakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sebelum ini, Nik Nazmi berkata, kerajaan akan meneliti usaha membawa masuk lebih banyak kenderaan elektrik (EV) mampu milik yang bernilai kurang RM100,000 ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan EV sekarang berharga lebih RM100,000, jadi untuk majoriti besar rakyat Malaysia, harga tersebut adalah di luar kemampuan.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mengundang pelbagai reaksi negatif terutama berkaitan kos penyelenggaraan.

Pasaran EV di negara ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR lebih 31 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, tambah Nik Nazmi, apabila penggunaan EV bertambah meluas, kos terutama dari segi bekalan sumber dan penyelenggaran juga akan bertambah murah.

“Dari segi sumber kita tiada isu. Cuma kos sahaja. Mungkin ada orang bangkitkan isu pengecaj, bateri dan sebagainya.

“Tapi apabila bertambah pengguna kereta ini nanti, kos akan turun. Kalau mahu caj tenaga yang pantas, pengguna mungkin perlu bayar sikit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN