Kerajaan NS tidak tetapkan had peruntukan bantuan kewangan ke IPT - Utusan Malaysia

Kerajaan NS tidak tetapkan had peruntukan bantuan kewangan ke IPT

AMINUDDIN Harun (baris depan, empat dari kiri) bergambar bersama tetamu dan guru-guru dan pelajar SMK Pedas pada Majlis Apresiasi Tingkatan 5 SPM 2022 dan Karnival Keusahawanan di SMK Pedas, Rembau hari ini.-UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kerajaan Negeri Sembilan tidak menetapkan sebarang had untuk peruntukan dan jumlah permohonan bagi pemberian bantuan kewangan ke institut pengajian tinggi (IPT) buat anak-anak di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sekiranya ditetapkan peruntukan tertentu, dibimbangi terdapat pelajar yang layak menerima tetapi tidak dapat menikmati inisiatif sekali beri (one-off) bagi menyambung pelajaran di IPT tersebut.

Menurut beliau, kaedah utama yang diguna pakai bagi kelayakan untuk menerima bantuan tersebut ialah pendapatan keluarga penerima adalah di bawah RM4,000.

“Kami tidak ada peruntukan tertentu, berapa juga bilangan (penerima) yang layak mengikut syarat pendapatan akan kami berikan. Bergantung kepada jumlah anak-anak yang masuk ke universiti (IPT),  jika ramai masuk lebih besarlah peruntukan kami.

“Begitu juga di Yayasan Negeri Sembilan (YNS), bantuan komputer riba dan juga bantuan bulanan sara hidup sebanyak RM150 sebulan selama 12 bulan juga diberikan khas untuk anak-anak memerlukan supaya mereka tidak ada masalah di IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Tingkatan 5 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan Karnival Keusahawanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, jumlah bantuan yang diberikan kepada pelajar yang layak menerusi Bantuan Kewangan ke IPT adalah sebanyak RM500 bagi peringkat sijil atau matrikulasi, diploma (RM 750) dan Ijazah Sarjana Muda/Sarjana/PHD (RM 1,000) sekali beri.

Dalam pada itu, Aminuddin memuji usaha pihak pihak sekolah melatih pelajar mereka dalam bidang keusahawanan.

Menurut beliau lagi, penganjuran karnival keusahawanan boleh menjadi platform terbaik bagi pihak sekolah mengumpul dana bagi pembangunan aktiviti sekolah masing-masing.

“Oleh itu, saya harap agar masyarakat setempat dapat sama-sama menyokong aktiviti karnival keusahawanan sekolah walaupun mereka tiada anak belajar di sekolah tersebut, ia bagi menyumbang kepada pihak sekolah untuk penganjuran pelbagai aktiviti,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya