Kerajaan negeri minta JKR buat kajian lampu jalan solar - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri minta JKR buat kajian lampu jalan solar

MOHAMMAD FAKHRUDDIN MOHD. ARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta supaya membuat kajian terperinci berhubung syor penggunaan lampu jalan solar di negeri ini.

Jabatan itu juga diminta menghasilkan kertas kerja bagi membolehkan pihak kerajaan negeri mengetahui keberkesanan penggunaan lampu jalan solar bagi seluruh Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, perkara tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan masalah lampu jalan yang tidak berfungsi.

Menurutnya, kegagalan itu telah mengundang banyak kemalangan kepada pengguna jalan raya.

“Saya telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) beberapa perkara termasuk berkenaan kekangan bajet, kehilangan dan kecurian peti pembekal pada tiang lampu serta alat elektronik lain.

“Jadi, saya akan berusaha membantu dan menjadi pemudah cara kepada JKR dan kerana itu saya mohon agar JKR membuat kajian atau kertas kerja lampu solar jalan secara terperinci dan mahu melihat keberkesanannya.

“Jika ia positif, mungkin penggunaan lampu jalan solar boleh digunakan, sekali gus mampu menyelesaikan isu kerosakan pada tiang lampu yang dihadapi pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Fakharuddin bersedia membuat pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

Jelasnya, ia turut disokong oleh Menteri Besar agar turut mengemukakan beberapa isu dan projek lain berkaitan jalan raya, lampu jalan, jejantas rosak yang sedang dijalankan di negeri ini.

“Semua maklumat berhubung pemasalahan yang didapati itu akan dibincangkan dan sampaikan ke pengetahuan Menteri Kerja Raya pada pertemuan yang dirancang nanti.

“Hasrat tersebut juga sudah disampaikan kepada Pengarah Kerja Raya Pahang Datuk Ir. Hafizah Zakaria dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Pahang baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya