PETALING JAYA: Kira-kira 100,000 pelajar berisiko tercicir daripada sistem pendidikan negara ekoran terbeban dengan kos sara hidup yang dijangka meningkat lebih tinggi tahun ini.
Ini kerana, wujudnya ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah terutama B40 yang tidak mampu lagi untuk menanggung perbelanjaan persekolahan anaknya, sekali gus akan mencetuskan keciciran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Berdasarkan laporan daripada Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi Malaysia (Ideas), hampir 60 peratus pelajar yang tercicir terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Malah kajian terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mendapati, antara faktor keciciran adalah disebabkan oleh sosioekonomi keluarga selain personaliti pelajar, faktor luaran seperti budaya dan persekitaran, pengaruh rakan sebaya serta cara pengajaran guru.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menyifatkan angka keciciran akan terus meningkat kerana dipengaruhi faktor ekonomi semasa baik bagi pelajar yang berada di bandar mahupun di luar bandar.
Namun katanya, keciciran tidak seharusnya dibiarkan terus meningkat kerana ia tidak selari dengan kedudukan Malaysia selaku salah satu negara membangun dan negara berprestasi tinggi.
“Keciciran pelajar seharusnya sifar, tetapi jumlah ini dijangka meningkat kerana faktor ekonomi yang memberi kesan kepada ibu bapa. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana Kementerian Pendidikan mendapat bajet paling besar setiap tahun dan Malaysia juga adalah negara membangun dan sentiasa mendapat pencapaian tinggi.
“Memang keadaan ekonomi tidak menentu, tetapi ia bukan alasan untuk kita membolehkan keciciran berlaku. Segala masalah kewangan perlu ditangani segera supaya kita boleh mengurangkan keciciran, jangan sampai ke satu tahap yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, kaji selidik Jabatan Perangkaan juga mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.
Dalam SPM tahun lalu, sebanyak 56,207 gagal dalam peperiksaan tersebut meliputi 45,526 calon gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya yang bermakna mereka sukar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala 10,681 calon lagi tidak hadir peperiksaan.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan berjanji akan memastikan semua murid mendapat pendidikan sewajarnya dan sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemantauan dan intervensi pihak sekolah ke atas murid yang berisiko cicir akan sentiasa dilakukan agar mereka kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima.
Namun, Alimuddin berpandangan, pihak sekolah perlu berusaha mendapatkan kerjasama dengan semua pihak supaya dapat mengenal pasti dan mengelakkan pelajar tercicir.
“Pengetua dan guru besar mempunyai peranan bekerjasama dengan pemimpin tempatan seperti ketua kampung, ketua unit pangsapuri atau ahli jawatankuasa kawasan perumahan supaya dapat mengenal pasti siapa yang tidak pergi ke sekolah. Ini satu tindakan bersama.
“Kalau pelajar itu miskin, kita boleh beri bantuan melalui pelbagai cara seperti zakat, sumbangan kewangan dan melalui yayasan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pelbagai usaha boleh dilakukan kerana amat penting pelajar raih sijil SPM jika mahu bekerja di sektor awam atau swasta. Kalau tak ada SPM, gelap masa depan anak-anak,” katanya. – UTUSAN










