PETALING JAYA: Kapal kargo membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak sejak 10 hari lalu berkemungkinan dirampas.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kemungkinan kapal yang dinaiki dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun itu boleh karam atau hanyut.
“Kapal itu membawa muatan besi paip jadi tidak mustahil ia mempunyai nilai yang tinggi sekiranya dirampas atau dilarikan individu tertentu.
“Jika kapal berkenaan dilarikan, mereka boleh cat semula kapal itu seterusnya menyukarkan untuk dikesan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, syarikat kapal berkenaan adalah milik tempatan dan kapal berdaftar di Kuching, Sarawak.
Jelas beliau, nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dan berasal dari Indonesia.
Jurutera kanan kapal juga warga Indonesia iaitu Damai Papane Ole, 57, manakala Ketua Operasi kapal Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, warga tempatan.
“Dua lagi warga tempatan ialah Mohammad Sudeh Sudin, berusia 20 tahun dan Derrent Littor, berumur 22 tahun. Kedua-duanya warga tempatan,” jelasnya.
Tambah sumber, kejadian kehilangan ini bukan kali pertama berlaku, yang mana satu kes dilaporkan pada 5 Oktober 2021.
“Terdapat satu kes kehilangan kapal tangki MT Ocean Pride yang dilaporkan hilang dan ditinggalkan tanpa kru dan kargo diesel beranggaran RM4.8 juta.
“Suspek kes dipercayai didalangi oleh kru kapal tersebut iaitu seramai 12 orang warga Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria ketika dihubungi berkata, belum ada perkembangan positif pencarian kapal itu di barat laut Pemangkat, Indonesia.
Kata beliau, berdasarkan maklumat diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) di Putrajaya, kapal berkenaan masih belum dikesan.
“Melalui maklumat terakhir diterima pukul 11 malam tadi, difahamkan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia akan mengkoordinasi pencarian berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal kargo itu berada dalam perairan Indonesia.
“Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kami masih menunggu maklumat daripada pihak MRCC dan BASARNAS,” jelasnya.
Media kelmarin melaporkan kapal kargo membawa muatan besi paip dalam perjalanan dari jeti Kampung Acheh di Perak ke Kuching, Sarawak hilang pada 1 Januari lalu.
Kehilangan kapal berkenaan terbongkar selepas ejen kapal membuat laporan polis kelmarin.
Laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember.
Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Sistem Identifikasi Automatik (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.
Maklumat diperoleh pukul 10.42 malam kelmarin, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.
Isyarat kecemasan berkenaan dikesan Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura.
Kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.
Maritim Malaysia bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai apa yang berlaku termasuk sama ada kapal itu ditawan lanun atau mengalami masalah teknikal berikutan cuaca buruk tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.
Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun. – UTUSAN










