Kalau tak berubah, lebih baik ‘tutup’ saja – Ku Li

Kalau tak berubah, lebih baik ‘tutup’ saja – Ku Li

ku li
TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO akan ber­terusan ditolak rakyat da­lam mana-mana pilihan raya dan ak­hir ter­kubur jika tidak mela­kukan perubahan dalam parti itu.

Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ber­kata, selagi pimpinan parti itu tidak segera mengubah cara, par­ti yang menjadi tunjang orang Melayu itu akan mengalami masa depan yang teruk dan lebih baik ‘ditutup’ sahaja.

“UMNO mesti ada perubahan. Kalau tidak UMNO tidak boleh hadapi pilihan raya nege­ri dan akan kalah teruk. Kalau ditolak terus oleh rakyat, lebih baik tutup sahaja parti.

“Sekarang ini bergantung kepada pimpinan apakah hendak tumpu pada pemilihan dalam UMNO, dalam tempoh enam bulan ini, atau mahu tumpu kepada rakyat bagi meraih semula sokongan mereka?” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

KEKALAHAN

Barisan Nasional (BN) mencatatkan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen (26 kerusi dimenangi UMNO) berbanding 79 kerusi (54 UMNO) dalam PRU14 lalu.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang pernah menyan­dang kerusi Parlimen Gua Musang selama 12 penggal menjangkakan Kerajaan Perpa­duan yang disertai UMNO tidak kekal sehingga cukup tempoh satu penggal.

Katanya, perkara tersebut berlaku sekiranya pucuk pimpinan ditukar dalam pemilihan UMNO yang membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada Mei depan.

Selain itu, menurutnya, jangka hayat Kerajaan Perpa­duan turut bergantung kepada kes mahkamah yang dihadapi Presi­den UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Akan berubah tampuk pe­merintahan mengikut selera mereka. Keadaan sekarang masih tidak menentu. Sekarang ini walau Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendapat sokongan dalam Parlimen, beliau tetap bergantung kepada 30 ahli Parlimen BN.

UBAH

“Kalau mereka ubah, maka segalanya akan ubah. Pertama, kalau kes Datuk Seri Ahmad Zahid tidak memihak kepadanya, keadaan berubah. Kerajaan sekarang stabil kalau ada soko­ngan yang bulat,” jelasnya.

Dalam PRU15, Ku Li antara nama besar BN yang tewas dan gagal mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang.

Beliau memperoleh 21,663 undian manakala calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azizi Abu Naim mendapat 21,826 undi.

Mohd. Azizi yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gua Musang berkata, kemena­ngan itu sememangnya di luar jangkaan memandangkan Ku Li merupakan tokoh yang amat disegani selain kawasan berke­naan kubu kuat BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN