Jumlah mangsa banjir di Johor terus bertambah - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Johor terus bertambah

ORANG ramai menggunakan All Terrain Vehicle (ATV) untuk melalui jalan di Kampung Contoh, Kahang, Kluang yang ditenggelami air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini semakin serius dengan jumlah mangsa bertambah menjadi 4,368 orang daripada 1,218 keluarga yang dipindahkan ke 44 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah itu mencatatkan peningkatan empat kali ganda dalam tempoh 24 jam berbanding seramai 1,093 orang daripada 298 keluarga direkodkan pada 4 petang semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, enam daerah terjejas akibat banjir adalah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat dengan Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa paling ramai, iaitu 1,522 orang daripada 424 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS.

“Jumlah mangsa banjir di Kluang turut mencatatkan peningkatan dengan seramai 1,222 penduduk yang terdiri daripada 348 keluarga ditempatkan di 11 PPS, manakala jumlah di Mersing juga meningkat menjadi 708 penduduk daripada 221 yang ditempatkan ke empat PPS,” katanya dalam laporan perkembangan banjir hari ini.

Azmi berkata, bilangan mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat menjadi 591 penduduk daripada 144 berbanding 568 penduduk daripada 138 keluarga yang direkodkan hingga pukul 12 tengah hari tadi.

Situasi sama turut berlaku di Batu Pahat yang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa, iaitu 119 penduduk daripada 35 keluarga berbanding 151 orang melibatkan 32 keluarga dipindahkan di dua PPS.

“Muar adalah daerah baharu yang terjejas banjir apabila seramai 15 penduduk daripada lima keluarga dipindahkan ke tiga PPS,” katanya sambil memaklumkan hingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat bencana alam berkenaan.

Katanya, dua PPS di Segamat, iaitu Dewan Serbaguna Chaah yang menempatkan mangsa banjir penduduk Kampung Sungai Sabar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bali Chaah menempatkan penduduk Kampung Jawa ditutup pukul 4 tadi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan sebahagian besar negeri ini di bawah amaran hujan berterusan, iaitu bahaya khususnya di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.