JKM selamatkan dua kanak-kanak perempuan menjaja kacang - Utusan Malaysia

JKM selamatkan dua kanak-kanak perempuan menjaja kacang

NICOLE Tan Tan Lee Koon (dua dari kanan) ketika menziarah keluarga dua orang kanak-kanak perempuan yang diselamatkan pihak JKM Negeri Sembilan selepas didapati menjaja kacang di sebuah kawasan perniagaan di Seremban 2, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang kanak-kanak perempuan yang menjaja kacang di sekitar daerah ini sejak sebulan lalu diselamatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

Kedua-duanya yang merupakan adik-beradik dan berusia 12 dan sembilan tahun itu diselamatkan dalam operasi yang dijalankan jabatan tersebut di sebuah kawasan perniagaan di Seremban 2, di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita,Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, hasil siasatan mendapati kedua-duanya berasal dari Melaka dan telah tinggal bersama nenek mereka sejak bulan Oktober tahun lalu.

Kata beliau, dalam tempoh berkenaan, kanak-kanak terbabit telah membantu bapa saudara mereka itu untuk menjaja kacang di beberapa lokasi di bandar ini. 

“Kedua-duanya telah ditinggalkan oleh bapa dan ibu mereka dan telah kerap tidak ke sekolah ketika tinggal di Melaka.

“Hasil siasatan mendapati nenek dan bapa saudara kanak-kanak ini tidak mengetahui bahawa perbuatan membenarkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun untuk bekerja adalah satu kesalahan di bawah undang-undang. 

“Keluarga mendakwa ada melarang untuk kanak-kanak ini untuk ikut keluar berniaga namun kedua adik-beradik ini tetap mahu menjaja tambahan masing-masing seronok memperoleh wang hasil jualan dan sumbangan orang ramai yang menyebabkan mereka juga akhirnya tidak bersekolah,” katanya.

Nicole berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga dua beradik itu di Temiang di sini hari ini.

ROSNAH Sardi ketika ditemui pemberita hari ini selepas menziarah dua kanak-kanak perempuan yang diselamatkan ketika menjaja kacang di Seremban 2, Seremban baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, pihaknya kini masih mengesan ibu bapa kedua kanak-kanak berkenaan dan kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 17(1)(k) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001. 

“Dalam tempoh siasatan sementara ini, calon yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak ini telah diperoleh. Sekarang ini kami akan sentiasa membuat pemantauan terhadap kedua-duanya. 

“Ia akan dilaksanakan oleh Pegawai Pelindung Kanak-Kanak kami untuk pastikan penjaga dapat betul-betul menjaga dan memberikan perlindungan kepada mereka termasuk dalam aspek persekolahan,” katanya.

Rosnah turut memaklumkan kanak-kanak berkenaan telah memulakan persekolahan di sebuah sekolah di Lobak di sini sejak dua hari lepas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya