Jangan ambil lewa soal gelombang Covid-19 - Ashraf Muslim

Jangan ambil lewa soal gelombang baharu Covid-19 – Ashraf Muslim

PETALING JAYA: Pengalaman kehilangan ayah, Muslim Bulat yang meninggal dunia akibat Covid-19, selain terpaksa duduk di hospital selama 39 hari membuatkan pelakon, Ashraf Muslim trauma dan risau dengan risiko gelombang baharu virus tersebut.

Sehubungan itu, Ashraf menggesa kerajaan supaya bertegas dan tidak bersikap sambil lewa terhadap risiko kemunculan gelombang baharu Covid-19 yang mencetuskan kebimbangan ramai ketika ini.

“Saya pernah duduk dalam hospital 39 hari sebab Covid-19, manakala ayah pula meninggal dunia disebabkan virus tersebut. Ini luahan hati saya yang sangat risau, tertekan serta trauma dengan apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Ashraf meluahkan kebimbangannya itu susulan China dilaporkan bakal membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini ketika virus masih membelenggu kehidupan negara berpenduduk 1.4 bilion itu.

Jelasnya, situasi yang boleh mengundang pelbagai bahaya dan ancaman seperti itu harus dibendung dari awal bagi mengelakkan negara terkesan.

“Sedar-sedarlah, kepada pihak atasan tolong buat keputusan dengan tepat. Ambil nasihat dan sunnah Nabi (SAW) apabila berlakunya penyakit berjangkit. Belajar dari pengalaman yang lepas.

“Perlu bendung dari awal. Kesan Covid-19 bukan saja pada fizikal, malah ekonomi pun terkesan sampai sekarang,” ujarnya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam hantaran sama, bapa kepada empat cahaya mata itu turut mendoakan ahli keluarga dan sahabatnya dijauhi daripada penyakit atau virus berjangkit tersebut.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN