IMAN sudah jangka Pejuang keluar GTA

IMAN sudah jangka Pejuang keluar GTA

logo GTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti komponen Gerakan Tanah Air (GTA) sudah menjangka Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan keluar daripada gabungan itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden IMAN, Datuk Mohmed Ismail Ibrahim berkata, ramalannya kini menjadi kenyataan menyaksikan Pejuang yang dipimpin Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akhirnya membawa haluan sendiri.

“Sudah pasti saya berasa kecewa dan perkara ini saya sudah agak selepas mesyuarat GTA yang terakhir yang mana kami ada mengadakan post mortem lebih kurang dua ming­gu lalu. Ada benda (sesuatu yang akan berlaku).

“Situasi ini ibarat anak derhaka kepada bapa kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengasaskan GTA. Bagaima­napun, kami akan putuskan segala perkara berbangkit selepas perbincangan bersama mungkin dalam sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohmed Ismail bagaimana berkata, tidak nampak sebarang usaha untuk memujuk Pejuang supaya kekal di dalam GTA menerusi perbincangan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Saya tidak nampak lagi ada usaha ke arah itu, sebab keputusan Pejuang baru dibuat kelmarin. Saya mahu cakap pun semua ahli tidak berkumpul lagi. Tetapi, saya rasa Tun Mahathir akan tetap dengan pendirian beliau untuk terus berada dalam GTA,” katanya.

GTA adalah gabungan politik yang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua kelmarin, Mukhriz mengumumkan keputusan keluar daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen.

Sementara itu, Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim enggan memberi komen le­bih lanjut mengenai tindakan Pejuang.

“Saya sedang mendapatkan cerita sebenar. Saya tidak mahu ambil cerita bukan daripada sumber yang tepat. Saya tidak mahu mengambil satu rumusan daripada persepsi parti sendiri tanpa merujuk dahulu apa sebenarnya yang saya boleh pastikan daripada pre­siden sendiri. Jika silap, ia akan memberi kesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×