Dua beradik maut, kempunan makan donat - Utusan Malaysia

Dua beradik maut, kempunan makan donat

MOTOSIKAL jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Gapam menghala ke Ayer Keroh, Melaka dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang bapa langsung tidak menyangka kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Ayer Keroh-Gapam di sini Ahad lalu, menyebabkan dia kehilangan dua anak tersayang secara serentak dalam sekelip mata.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ramli Merat, 46, tidak mampu menahan sebak ketika menceritakan detik-detik semasa dimaklumkan mengenai nahas yang menimpa Hijjaz Kasturi, 19, dan Nurul Faqihah, 21, melalui panggilan telefon oleh orang awam.

Ramli berkata, ketika itu dia hanya beranggapan ia hanyalah kemalangan biasa dan langsung tidak terfikir kejadian itu telah meragut nyawa kedua-kedua mereka.

HIJJAZ KASTURI RAMLI (kiri) dan NURUL FAQIHAH RAMLI

Ujarnya, sebelum tragedi, anak-anaknya itu ada meminta kebenaran untuk keluar sebentar ke Ayer Keroh bagi membeli donat kira-kira pukul 3.30 petang.

“Kemudian dalam pukul 4.30 petang saya terima panggilan memaklumkan mereka berdua terlibat kemalangan. Pada awalnya saya sangka hanya kemalangan biasa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, hanya Allah saya tahu perasaan saya selepas melihat tubuh mereka terbaring tidak bernyawa manakala jenazah anak lelaki ditemui dalam longkang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin di sini.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintenden Mohd. Fadzil Othman berkata, kedua-dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, nahas berlaku dipercayai berpunca daripada kegagalan mengawal motosikal sehingga terbabas sebelum melanggar sebatang pokok yang mengakibatkan penunggang tercampak ke dalam longkang.

“Motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Gapam menghala ke Ayer Keroh, dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi.

“Motosikal mangsa kemudian disyaki terbabas melanggar pokok sebelum penunggang tercampak ke dalam longkang, manakala pembonceng di tengah jalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.