Atikah hilang anak, ibu, dua adik sekelip mata

Atikah hilang anak, ibu, dua adik sekelip mata

SITI Nur Atikah Ahmad Shukri sebak ketika majlis pengebumian lima ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi di Merbok, Sungai Petani, Kedah - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tragedi meragut nyawa enam sekeluarga dalam nahas ngeri membabitkan sebuah Proton X50 dengan lori muatan tanah meninggalkan kesan amat mendalam terhadap seorang wanita, Siti Nur Atikah Ahmad Shukri, 40.

Dia bukan sahaja kehilangan anak lelakinya, Iskandar Affan Ibrahim, 7, bahkan ibunya, Nora Mhd. Husin, 55, dan dua adiknya, Ahmad Shafiq, 29, dan Ahmad Fahim, 21.

Turut terkorban adik iparnya, Jamaliah Sannusi, anak saudaranya, Ahmad Mikail Ahmad Shafiq yang baru berusia dua bulan, sementara seorang lagi anak saudaranya, Aulia Sofea, 3, cedera parah dan masih dirawat di hospital.

Menurut Siti Nur Atikah, sebagai kakak sulung dia reda dengan kejadian menimpa ahli keluarganya itu selepas turut kehilangan bapa, Ahmad Shukri Osman pada 2 Februari 2024.

“Sekelip mata saya hilang anak, ibu dan dua adik serta anak buah yang kesemua kami amat rapat dan sering berhubungan walaupun sering berjumpa.

“Semasa kejadian itu mereka dalam perjalanan menziarahi kubur arwah ayah di sini dan tak sangka hari ini mereka turut dikebumikan tidak jauh dari kubur ayah,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Abidi di Merbok, hari ini.

Terdahulu, jenazah Nora; Ahmad Fahim; Ahmad Shafiq; Jamaliah dan Ahmad Mikail selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira pukul 10 pagi tadi sementara jenazah Iskandar Affan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Sementara itu, ujar Siti Nur Atikah, perasaan bimbang sejak beberapa bulan lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila Iskandar Affan turut pergi meninggalkannya.

Menurutnya, dia sering dibelenggu perasaan seolah-olah bakal kehilangan anaknya dalam kemalangan jalan raya namun tidak pernah menyangka perkara itu akan benar-benar berlaku.

“Arwah manja sangat dengan saya sejak kebelakangan ini, dia sering memeluk saya dan walaupun ada masanya termarah dia tetapi dia tidak ambil hati.

“Dia pula berminat sangat dengan kereta baharu dan sangat teruja nak ikut pak cik dia yang baru ambil Proton X50 itu kira-kira pukul 11 pagi semalam yang hanya beberapa jam sebelum nahas,” ujarnya.

Dalam pada itu, suaminya, Ibrahim Ghazali, 39, amat terkilan kerana kehilangan Iskandar Affan pada hari ulang tahun kelahirannya.

“Hari lahir saya jatuh semalam tapi mereka sambut pada Jumaat lalu dan saya masih ingat bagaimana anak serahkan jam tangan yang dibeli isteri sebagai hadiah ulang tahun itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN