Bukit Malut: LKIM rugi RM700,000 setahun

Bukit Malut: LKIM rugi RM700,000 setahun

KERAJAAN digesa menyelesaikan isu Bukit Malut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu menanggung premium tanah mencecah RM700,000 setahun sejak 2016 ke atas tanah miliknya di Bukit Malut, Langkawi yang sebahagiannya kini didiami oleh penceroboh dalam kalangan warga Melayu Burma.

Jumlah itu adalah untuk tanah seluas lebih 45 hektar yang berpotensi untuk tujuan pembangunan tetapi tidak dibangunkan kerana masalah pencerobohan tersebut.

Sumber agensi itu yang ditemui semalam mendedahkan, pencerobohan itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 12 hektar.

BERANI

Menurutnya, memburukkan lagi keadaan adalah apabila LKIM tidak bertindak menyelesaikan masalah pencerobohan itu, mengakibatkan komuniti pendatang di situ semakin berani membina bangunan seperti pusat pengajian agama, surau, kedai kopi dan rumah kedai.

“Malah, kenderaan mewah serta bekalan elektrik pun ada di kawasan penempatan haram itu. Apabila semakin banyak struktur dibina dalam kawasan pencerobohan haram, maka makin susah kerajaan mahu selesaikan isu itu.

“Mengapa agensi itu langsung tidak bertindak sedang­kan pencerobohan itu berlaku bukan setahun dua malah sejak 1980-an lagi,’’ katanya.

Untuk rekod, berdasarkan rekod geran hak milik sementara LKIM di Bukit Malut, Langkawi yang diserahkan dan disemak oleh akhbar ini, tanah tersebut telah dipajak kepada agensi itu bermula tahun 1988 untuk tempoh 60 tahun yang berakhir pada 2048.

Cukai tahunan yang dibayar LKIM setiap tahun berjumlah RM664,724 sejak 2016. Sebelum itu, bayaran premium tanah itu adalah lebih rendah.

MEREBAK

Menjelaskan lebih lanjut, sumber berkata, meskipun setakat ini, sekitar 20 peratus daripada keseluruhan tanah LKIM telah diceroboh, namun dikhuatiri pencerobohan akan semakin merebak jika agensi tersebut tidak bertindak segera menanganinya.

“Untuk membasmi pen­cerobohan, LKIM haruslah segera mengusahakan tanah tersebut untuk kepentingan nelayan setempat yang merupakan pemegang taruh industri perikanan negara.

“Caranya adalah melalui usahasama dengan pihak yang berkapasiti dan mempunyai kemampuan serta semangat patriotik untuk membela nasib nelayan serta ekosistem industri,” katanya.

Sumber mendedahkan, pada Julai tahun lalu, sudah ada beberapa cadangan yang dibentangkan kepada ahli jemaah LKIM, bertujuan membangunkan tanah tersebut secara ko­mersial tanpa mengabaikan nilai estetiknya.

“Namun malangnya, sehingga kini langsung tiada sebarang tindakan susulan yang positif telah diambil LKIM mengakibatkan tanah di Bukit Malut berterusan diceroboh dan ter­abai. Bahasa kasarnya, tanah itu kini berterusan menjadi tanah subsidi bagi pendatang asing,” kata sumber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN