Belum ada projek di Kelantan disekat - Mohd. Amar

Belum ada projek di Kelantan disekat – Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan setakat ini belum ada sebarang maklumat mengatakan projek-projek yang telah diluluskan untuk negeri ini disekat atau dikaji semula.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun berharap semua projek-projek yang telah diluluskan sama ada di peringkat dasar atau pelaksanaan akan diteruskan.

“Ini termasuk kompleks sukan dan stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang setakat ini belum dimulakan lagi. Kita harap Kerajaan Perpaduan dapat meneruskannya seperti persetujuan dan perbincangan sebelum ini.

“Kita perlu siapkan fasiliti berkenaan sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) tahun 2026 nanti. Hal ini  kerana kita  tidak mahu pelaksanaan temasya sukan itu terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini Kota Bharu Sentral (KB Sentral) Mohd. Amar memberitahu, ia perlu dirujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad.

Katanya, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci berkenaan perkembangan projek tersebut. 

“Cuma dalam perbincangan baru-baru ini syarikat dikenal pasti sudah bersetuju dengan syarat-syarat ditetapkan.

“Sekarang ini pihak syarikat berkenaan dalam peringkat memuktamadkan pelan dan reka bentuk projek itu,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya