PETALING JAYA: Jemaah yang bakal menunaikan haji pada tahun ini perlu menyediakan wang tambahan ekoran peningkatan kos perbelanjaan di Tanah Suci.
Mereka yang pergi menggunakan pakej swasta terutamanya perlu menyedia kan wang
tambahan sekurang-kurangnya RM20,000.
Antaranya disebabkan kenaikan harga makanan sekitar RM20 bagi setiap menu kesan
daripada cukai nilai tambah (VAT) serta kenaikan kos pengurusan, penginapan dan pengangkutan di Tanah Suci.
Kenaikan kos itu akan mengakibatkan pakej haji dan mutawif yang ditawarkan oleh pengelola jemaah haji (PJH) turut meningkat antara 15 hingga 25 peratus.
Ini bermakna, jemaah haji swasta perlu membayar kos pakej yang lebih mahal berbanding kira-kira RM31,000 yang perlu ditanggung Tabung Haji tahun ini.
JEMAAH
Kos tambahan tersebut akan turut menjadi cerminan kepada jemaah haji muassasah di bawah Tabung Haji yang ingin berbelanja di Tanah Suci.
Kebiasaannya jemaah Malaysia sama ada haji atau umrah akan membawa wang saku untuk berbelanja sampingan seperti membeli kurma atau pelbagai jenis kekacang, jubah, tasbih serta barangan cenderahati untuk dibawa ke tanah air.
Dengan jangkaan peningkatan harga barangan tersebut termasuk berbelanja membeli buah-buahan segar dan makanan lain sepanjang berada di sana, bakal jemaah harus menaikkan jumlah wang saku sebagai persediaan menghadapi situasi semasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil Az Zuha Group Travel, Muhammad Nasrullah Roslan berkata, harga makanan adalah yang paling banyak menunjukkan peningkatan selepas Arab Saudi membuka sepenuhnya operasi haji tahun ini.
Menurut beliau, kenaikan kos tambahan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada
pakej haji yang akan ditawarkan nanti.
“Sebagai contoh, harga paling rendah bagi satu hidangan makanan di sebuah restoran di Mekah sudah berharga dalam 25 riyal. Nasi arab kambing yang dahulu harganya RM60 sekarang sudah RM80 ekoran VAT.
“Jadi, terpulang kepada syarikat pengelola PJH sama ada mereka akan menaikkan harga pakej haji tetapi ia semacam tidak boleh dielakkan lagi mungkin boleh naik sampai 25 peratus,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
HARGA
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan harga pakej haji yang akan ditawarkan tetap berpatutan walaupun berdepan kos tambahan.
“Apabila kita mengiklankan pakej haji nanti, harga itu sahaja yang perlu dibayar oleh bakal jemaah haji.
Kita tidak akan senang-senang naikkan harga kerana kita juga mengikut undang-undang namun kita diharapkan kenaikan kos haji dapat dikaji oleh kerajaan,” katanya.
Minggu lalu, Tabung Haji melaporkan, antara faktor utama kenaikan kos haji adalah inflasi impak ekonomi global seperti perang Russia-Ukraine, kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Covid-19, percukaian, kadar pertukaran wang dan pasaran hartanah di Mekah dan Madinah.
Tabung Haji juga menjangkakan kenaikan caj tambahan termasuk kemudahan khemah di Arafah dan Mina, mutawif dan penggunaan bas yang lebih baik di Arab Saudi.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Pengarah Pemasaran dan Jualan Jad Travel, Salimi Zainal yang menjangkakan, pakej dan perbelanjaan haji akan meningkat antara 15 hingga 25 peratus pada musim haji tahun ini.
“Kita meraih permintaan tinggi setelah dua tahun tidak dapat melaksanakan ibadah haji dan kalau boleh, kita nak jual pakej paling rendah sebab ramai yang dah tunggu lama dan kumpul duit nak buat haji.
“Kita masih mencari formula untuk menawarkan pakej haji yang mampu milik tetapi diharapkan pihak berwajib dapat turunkan kos seperti penginapan dan pengangkutan supaya kita dapat memberikan harga yang lebih baik dan kompetitif,” katanya.- UTUSAN










