Banjir: Tak perlu isytihar darurat - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Banjir: Tak perlu isytihar darurat – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS Politeknik Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri pada masa ini masih terkawal dan belum sampai ke tahap untuk diisytiharkan darurat.

Timbalan Perdana Menteri, berkata, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana banjir hanya melibatkan negeri tertentu sahaja.

“Saya tak fikir darurat bencana harus dilakukan kerana ia melibatkan negeri dan daerah tertentu sahaja. Dan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dah ambil langkah proaktif bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Politeknik Mersing dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mersing, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengakui pengurusan pasca banjir akan lebih mencabar, khususnya dalam pengagihan bantuan dan proses pemulihan.

Namun beliau menegaskan, kerajaan menerusi pelbagai agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara 

(Nadma) dengan kerjasama pihak berkaitan lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa menggembleng tenaga dan meningkatkan pengurusan serta usaha membantu semua mangsa yang terlibat.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.5 juta bagi membina tiga rumah pam dan tiga pam bagi membantu menangani masalah banjir dalam jangka masa pendek di Mersing.

Beliau turut memaklumkan peruntukan sebanyak RM50 juta menerusi Nadma yang akan disalurkan kepada kerajaan negeri Johor menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk projek tebatan banjir jangka masa sederhana.

“Untuk rancangan jangka panjang, daerah Mersing perlukan RM2.3 bilion bagi atasi masalah banjir dan diselesaikan secara jangka panjang.

“Namun, mereka mohon peruntukan sekurang-kurangnya RM50 juta. Ini dapat disalurkan ke kerajaan negeri dan daerah melalui JPS bagi peruntukan jangka sederhana supaya dapat disalurkan di kawasan-kawasan rendah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.