Banjir Pahang pulih, semua PPS Rompin ditutup petang ini - Utusan Malaysia

Banjir Pahang pulih, semua PPS Rompin ditutup petang ini

ANGGOTA APM dan petugas JPKK Daerah menyampaikan bantuan barang makanan kepada seorang mangsa di sebuah PPS di Rompin, Pahang. - FOTO/ IHSAN JKM ROMPIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Selepas lapan hari banjir melanda di beberapa perkampungan daerah ini, semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka ditutup pada pukul 2 petang hari ini.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Denai yang menempatkan 27 mangsa daripada lapan buah keluarga terakhir ditutup berikutan banjir surut dan penduduk yang terjejas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, semalam sebanyak tiga PPS ditutup iaitu balai raya Bukit Lepas, balai raya Kampung Rekoh dan balai raya Kampung Jawa.

“Kesemua PPS yang dibuka sejak 24 Januari lalu berikutan banjir di daerah ini sudah ditutup petang ini apabila mangsa banjir yang ditempatkan di situ sudah pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir surut.

“Bagaimanapun kawasan penempatan mangsa banjir berkenaan sentiasa dipantau keselamatan oleh anggota pihak berkuasa beruniform, balai penghulu dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) berikutan cuaca masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Che Adam, banjir yang melanda beberapa buah penempatan di Mukim Keratong Dua dan Mukim Endau sejak 24 Januari lalu bermula pemindahan awal di PPS bandar Perwira Jaya dan Kampung Setajam.

Dalam perkembangan yang sama, paras air anak Sungai Pahang di Rompin, iaitu Sungai Keratong di Jambatan Bahau – Keratong kini menurun pada bacaan 22.79 meter tren menurun, manakala Sungai Keratong di Jambatan Kuantan/Segamat (Kuantan) menunjukkan bacaan paras bahaya, iaitu 10.67 meter dam juga tren menurun yang dilaporkan pada pukul 12 tengah hari tadi.

“Bagaimanapun hujan lebat dan ribut petir dilaporkan masih berlaku di kebanyakan tempat di 11 buah daerah di negeri bermula petang hari ini hingga ke malam esok.

“Penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu berwaspada dan sentiasa memperoleh maklumat sahih daripada pihak berkuasa beruniform, agensi kerajaan, balai penghulu dan JPKK,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya