PONTIAN: Gara-gara terpikat dengan tawaran gaji lumayan RM8,000 sebulan, tiga sahabat nekad ‘terbang’ ke Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk mencari rezeki di sana pada Oktober 2021.
Namun, impian mereka termasuk seorang wanita untuk memperoleh gaji lumayan bukan sahaja tidak kesampaian, malah ditipu dan dikurung oleh sindiket penipuan pekerjaan berkenaan.
Menurut salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jenny, 36, mereka mula tertarik dengan iklan kerja sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji bulanan RM8,000 itu yang diperoleh salah seorang rakannya yang dikenali Jason, 25, menerusi aplikasi Telegram.
“Masa itu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang sukar nak dapatkan kerja. Saya mula tengok iklan tawar kerja sebagai ‘customer service’ dengan gaji RM8,000 sebulan selain komisen sebanyak empat peratus.
“Kami tidak fikir panjang, terus buat keputusan untuk pergi kerja dekat sana (Dubai), semua tiket dan pergerakan diuruskan sindiket sebelum kami bergerak pada bulan Oktober 2021,” katanya ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nanas, di sini hari ini.
Jenny berkata, sejurus sampai di Dubai, harapan mereka meleset apabila ‘dikurung’ di dalam sebuah banglo di kawasan luar bandar bersama-sama kira-kira 20 mangsa lain terdiri daripada rakyat Taiwan, China dan Malaysia serta tidak dapat berhubung dengan keluarga kerana semua alat komunikasi serta pasport dirampas oleh ahli sindiket.
“Hampir setahun lebih kami kena kurung dan dikawal selain dikerah menjadi pegawai khidmat pelanggan sebuah kasino atau perjudian dalam talian. Kami juga hanya diberi makan dua kali sehari selain hanya dapat gaji RM1,000 dan RM2,000 untuk beberapa bulan sahaja, duit mereka masukkan ke akaun ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Kelvin memberitahu, kesempatan cuti Hari Krismas, 25 Disember tahun lalu digunakan sepenuhnya apabila mereka nekad untuk melarikan diri dengan mendapatkan bantuan di Kedutaan Malaysia di Dubai.
“Masa itu, semua ahli sindiket serta mangsa lain tiada, lalu kami bertindak keluar melarikan diri dengan menaiki teksi untuk mendapatkan bantuan di kedutaan kita sebelum berjaya diselamatkan dan balik ke Malaysia pada 16 Januari lalu.
“Kami bersyukur dapat melepaskan diri dan tahun ini dapat menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, pihaknya menerima aduan tentang kes penipuan sindiket pekerjaan itu daripada ahli keluarga yang meminta bantuan pada 29 Disember tahun lalu.
Susulan itu, pihaknya berhubung dengan pihak Kementerian Luar serta Kedutaan Malaysia di Dubai dan dapat membawa pulang tiga mangsa berkenaan dengan selamat.
“Kita berharap orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja lumayan, terutamanya membabitkan kerja di luar negara,” katanya. – UTUSAN










