Tiga lelaki guna dron seludup tembakau ke penjara diberkas

Tiga lelaki guna dron seludup tembakau ke penjara diberkas

DRON yang dirampas selepas polis menahan tiga lelaki di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret dekat Machang, Kelantan pada 12 Disember lalu.-UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Tiga lelaki dicekup selepas dipercayai cuba menceroboh dan menyeludup tembakau dengan menerbangkan sebuah dron ke dalam kawasan Penjara Machang di sini lebih dua minggu lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 35 hingga 39 tahun itu ditahan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bukit Belah di sini pada 12 Disember lalu selepas mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Machang menerima maklumat dari pihak Penjara Machang yang melihat sebuah dron diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara kira-kira pukul 1.05 pagi.

Menurutnya, dron tersebut dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk bahan terlarang ke dalam kawasan penjara.

“Siasatan menggunakan teknologi peranti pengesan mendapati, pengendali dron itu dikesan berada di kawasan berhampiran penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret di sini.

“Polis terus menjejaki lokasi tersebut dan mengesan tiga lelaki tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah SUV jenis Honda CR-V sebelum kenderaan itu dipecut laju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, selepas dikejar sejauh 300 meter, kenderaan dipandu suspek ditahan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bukit Belah di sini.

Katanya, pemeriksaan di dalam SUV itu telah membawa kepada penemuan lima buah telefon bimbit, dua unit pengecas mudah alih, 20 biji mercun bola, sebilah parang, sebilah badik, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

Ujarnya, selain itu, polis turut menemui segulung plastik pembalut, satu unit kawalan jauh dron, 13 bungkusan tembakau dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau.

“Sehubungan itu, orang ramai tidak boleh menerbangkan dron tanpa permit Jabatan Penerbangan Awam. Penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada. 

“Polis Kontinjen Kelantan tidak akan berkompromi dengan pelanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya