Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara

Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara

THAKSIN (kanan) keluar dari Penjara Pusat Klong Prem, Bangkok hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan lebih awal dari penjara pada Isnin menyebabkan tercetusnya spekulasi mengenai kepulangan tokoh politik berpengaruh itu ke kancah kepimpinan negara.

Hartawan telekomunikasi berusia 76 tahun itu sebelum ini menjalani hukuman penjara setahun atas pertuduhan rasuah sejak September tahun lalu. Beliau kini dikehendaki memakai peranti pemantauan elektronik sepanjang tempoh parol selama empat bulan.

Dengan imej berambut pendek dan mengenakan kemeja putih ringkas, Thaksin melangkah keluar dari Penjara Pusat Klong Prem, Bangkok  kira-kira pukul 7.40 pagi waktu tempatan. Beliau segera disambut oleh ahli keluarga, termasuk anak perempuannya yang juga bekas perdana menteri, Paetongtarn Shinawatra.

Paetongtarn sebelum ini telah dilucutkan jawatan sebagai perdana menteri melalui perintah mahkamah pada Ogos tahun lalu, hanya beberapa minggu sebelum bapanya dipenjarakan.

Suasana di luar penjara hiba apabila Thaksin dilihat memeluk ahli keluarganya di hadapan ratusan penyokong tegar yang memakai baju merah. Mereka dilaporkan telah berkumpul sejak awal pagi bagi menantikan kepulangan pemimpin tersebut sambil melaungkan slogan ‘kami sayang Thaksin’.

Walaupun melemparkan senyuman dan melambai ke arah penyokong, Thaksin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media sebelum beredar menaiki sebuah kenderaan.

Selama dua dekad, pengaruh politik Thaksin menjadi pencabar utama kepada golongan elit pro-tentera dan pro-diraja Thailand yang menyifatkan ideologi populis beliau sebagai ancaman kepada sistem sosial tradisional negara itu.

Parti Pheu Thai yang diasaskannya telah melahirkan empat perdana menteri daripada keluarga Shinawatra dan meraih sokongan meluas daripada penduduk luar bandar.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya pada Februari lalu menyaksikan Pheu Thai mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah apabila jatuh ke kedudukan ketiga dan menimbulkan persoalan mengenai masa depan dinasti politik Thaksin.

Namun, penyertaan Pheu Thai dalam kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul dilihat membuka ruang untuk Thaksin kembali aktif dalam arena politik.

Jabatan Penjara bulan lalu mengumumkan pemberian parol kepada Thaksin dengan mengambil kira faktor usia dan baki tempoh hukuman yang kurang daripada setahun.

Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung memutuskan pada tahun lalu bahawa beliau telah menyalahgunakan prosedur apabila menjalani hukuman tahun 2023 di dalam wad hospital mewah dan bukannya di dalam sel penjara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN