PETALING JAYA: Sistem dua parti dilihat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia meskipun mekanisme itu bertujuan menjaga kestabilan politik negara bagi mengekang terlalu banyak pertembungan gabungan parti politik dalam pilihan raya sehingga mengakibatkan keputusan Parlimen tergantung.
Kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) telah lama merintis sistem ini, namun pembentukan fraksi politik dibuat berdasarkan fahaman dan ideologi politik misalnya Republikan dan Demokrat.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan etnik sekali gus terlalu sukar untuk melaksanakan sistem dua parti seperti mana negara lain.
Justeru, rakyat perlu menerima hakikat bahawa jajaran politik amat diperlukan sekiranya tiada parti meraih majoriti mudah selepas keputusan pilihan raya umum (PRU) sekali gus menuntut pembentukan kerajaan secara campuran atau perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, amat sukar untuk melaksanakan sistem dua parti kerana situasi politik negara ini masih berpegang kepada komposisi bangsa dan agama.
Katanya, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jelas membuktikan trend bangsa dan agama masih menebal di dalam pemikiran pengundi sehingga menyebabkan kegagalan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan secara solo.
“Jadi, adalah mustahil untuk melaksanakan sistem dua parti di negara ini walaupun tujuan baik untuk mengurangkan terlalu banyak parti politik kerana masyarakat kita terdiri daripada banyak kelompok berbeza.
“Di Semenanjung, misalnya ada tiga kelompok Melayu, Cina dan India dan menjadi teras politik kita selama ini, begitu di Sabah dan Sarawak mempunyai etnik berbeza. Jadi, sukar untuk melaksanakan sistem dua parti, adakah satu blok di Semenanjung dan satu lagi di Blok Borneo?
“Adakah mahu mewujudkan sistem dua parti berdasarkan agama atau bangsa? Ini lagi mustahil dan sukar terjadi,” katanya.
PRU15 menyaksikan keputusan Parlimen tergantung ekoran tiada mana-mana gabungan parti meraih majoriti 112 kerusi Parlimen ekoran pertembungan banyak penjuru di semua 222 kawasan Parlimen.
Keadaan itu menyebabkan pembentukan kerajaan dilakukan selepas lima hari pilihan raya dan itupun setelah parti-parti bersepakat membentuk kerajaan perpaduan secara bersama walaupun sebelum ini berbeza pandangan dan fahaman politik.
Dalam pada itu, Azmi menambah, sesebuah parti yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama perlu menjadi lebih kuat dahulu sekiranya mahu mewujudkan sistem dua parti.
Sebaliknya kata beliau, dalam keadaan sekarang, tiada parti boleh mendabik dada bahawa mereka mewakili semua bangsa dan agama. – UTUSAN










