Sepanyol tidak rela pisang berbuah dua kali

Sepanyol tidak rela pisang berbuah dua kali

Pemain Sepanyol menjalani latihan di padang Universiti Doha, semalam menjelang perlawanan pusingan kalah mati menentang Maghribi, hari ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Sepanyol telah diberi amaran berisiko tumbang buat kali kedua jika mengulangi kesilapan yang sama ketika menentang Jepun apabila bertemu Maghribi dalam saingan kalah mati Piala Dunia hari ini.

Skuad La Roja sebelum ini tewas mengejut kepada Jepun 2-1 yang bangkit pada babak akhir sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga kedua Kumpulan E.

Pemain tengah, Rodrigo Hernandez berkata, Sepanyol tidak akan mengubah gaya permainan tetapi perlu mengelak daripada mengambil risiko cara bermain.

“Kita kalah kepada Jepun dalam 10 minit terakhir dan sebarang jaringan lawan akan menyebabkan kita tersingkir.

“Peringatan jurulatih sangat jelas tentang perkara ini dan sekarang kita menjalani latihan dengan gembira,” katanya dalam sidang akhbar.

Skuad Sepanyol menjalani latihan di padang tanpa pemain bek, Cesar Azpilicueta yang terpaksa menghabiskan masa mengayuh basikal dalam gimnasium gara-gara cedera kerana berlaga dengan pemain Jepun.

Namun, dia dilaporkan kembali cergas untuk disenarai dalam kesebelasan utama hari ini.

Sementara itu, pemain tengah, Pedri mula memasang impian untuk berentap dengan idolanya, Lionel Messi di pentas perlawanan akhir kali ini.

Argentina mengesahkan tempat di peringkat suku akhir setelah membenam Australia.

Pedri, 20, secara berseloroh memilih untuk bertemu pemenang Ballon d’Or itu apabila ditanyakan pemain mana yang dia mahu bertukar jersi Piala Dunia.

“Sudah pasti Lionel Messi, jadi kami akan berjumpa sekiranya kedua-kedua berjaya mara ke perlawanan akhir nanti,” kata Pedri.

Menariknya pertemuan Sepanyol dan Maghribi apabila bakal menemukan semula Pedri dengan bekas rakan sepasukan, Abde Ezzalzouli yang kini beraksi dengan pasukan Osasuna.

Pedri dan Ezzalzouli merupakan graduan daripada Akademi La Masia dan pernah bersama-sama beraksi dengan pasukan senior Barcelona, bagaimanapun pihak pengurusan membuat keputusan meminjamkan Ezzalzouli kepada Osasuna pada musim ini.

Ezzalzouli yang berpindah ke Sepanyol pada umur tujuh tahun, sebelum ini berpeluang untuk mewakili skuad La Roja, bagaimanapun pemain berusia 20 tahun itu mengubah fikiran untuk mewakili negara kelahirannya, Maghribi untuk kejohanan Piala Dunia kali ini. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya