ROMPIN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM103.8 juta bagi pelaksanaan tujuh projek untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dua projek siap dilaksanakan melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sepayang bagi meningkatkan tekanan air dan projek membekal air terawat di Kampung Merlak.
“Lima lagi projek masih dalam proses pra-pembinaan iaitu membina dan menyiapkan LRA Sepayang fasa dua, pembinaan rumah pam dan tangki sedutan di Tanjung Gemuk serta pemasangan paip dari retikulasi LRA Selendang ke tangki perkhidmatan Parit Raja.
“Selain itu pemasangan paip merentasi Sungai Anak Endau dan projek bekalan air luar bandar Kampung Tekek di Pulau Tioman,” katanya selepas menghadiri Majlis Penerangan Isu Air Bersih di sini.
Menurut Wan Rosdy, semua projek di bawah kendalian Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) itu dijadual siap antara Disember 2023 hingga 2025.
Jelasnya projek itu bakal memanfaatkan lebih 10,000 penduduk dalam kawasan DUN Tioman yang dilaksanakan secara berperingkat.
Seorang penduduk Kampung Pianggu, Hasnah Bakra, 59 berkata, beliau berharap pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar dan disiapkan dengan segera.
Katanya, masalah bekalan air di kawasan itu yang berlarutan sejak sekian lama kini bertambah teruk sehingga menjejaskan aktiviti seharian penduduk.
“Sejak selepas Hari Raya Aidilfitri lalu masalah bekalan air berterusan berlaku yang menjejaskan kehidupan kami penduduk kampung dan kami juga terpaksa membeli pam untuk menyedut air.
“Kami juga terpaksa mengehadkan penggunaan air yang dihantar oleh pihak berkuasa, malah adakalanya ketiadaan air menyebabkan kami sukar untuk solat dan terpaksa membeli air mineral minum,” katanya. –UTUSAN