PRN: PH Negeri Sembilan optimis pertahan 20 kerusi - Utusan Malaysia

PRN: PH Negeri Sembilan optimis pertahan 20 kerusi

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan optimis, 20 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu mampu dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keyakinan itu boleh bertambah sekiranya kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dapat dimuktamadkan.

“Beberapa kerusi bagi PH insya-Allah akan dipertahankan. Kerjasama dengan BN kalau dimuktamadkan, saya rasa itu akan lebih beri keyakinan.

“Kami mampu pertahankan 20 kerusi itu, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu kami sudah nampak kelemahan dan kekurangan dan itu kami kena perbetulkan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin mengulas mengenai kenyataan PN Negeri Sembilan baru-baru ini bahawa gabungan parti itu mampu meraih 19 kerusi DUN di negeri ini pada PRN akan datang jika dilihat perkembangan dan sentimen pengundi selepas PRU15.

“Kalau saya jadi pembangkang, saya juga akan kata saya akan menang 19 kerusi, untuk beri keyakinan kepada penyokong dan juga jentera. Itu biasalah sebagai pemimpin, mereka akan lebih yakin daripada realitinya.

“Tetapi tidak dinafikan, jika ikut PRU15 yang lepas, sokongan kepada PN itu agak baik tetapi kita tunggulah, ada enam bulan lagi, apa-apa juga boleh berlaku,” tambahnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pembahagian kerusi di antara PH dan BN bagi menghadapi PRN kelak, Aminuddin menjelaskan masih terlalu awal untuk perkara itu diputuskan.

“Itu tidak boleh dinyatakan sekarang kerana masih terlalu awal. Belum ada perbincangan awal pun, untuk terus pergi  konklusi, tentu tidak boleh,” kata beliau.

Di Negeri Sembilan, PH membentuk kerajaan selepas PRU14 yang lalu selepas memenangi 20 kerusi DUN daripada 36 buah kerusi secara keseluruhan manakala baki 16 buah kerusi lagi dimenangi oleh BN.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya