fbpx

Prestasi hebat Messi mula jadi bualan

Lionel Messi memerhatikan bola rembatannya melepasi jangkauan penjaga gol Australia dalam saingan kalah mati Piala Dunia di Doha, semalam. Argentina menang 2-1. - AFP

DOHA: Prestasi cemerlang Lionel Messi memimpin pasukan melepasi pusingan 16 terbaik membawa Argentina me­nempah slot suku akhir mendapat perhatian dan pujian.

Messi memulakan langkah kanan pada babak pertama untuk memberikan pendahuluan kepada pasukannya berdepan Australia dan seterusnya mencipta banyak peluang untuk rakan sepasukan.

Argentina menang 2-1 sekali gus menamatkan saingan Australia.

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand berkata, Messi telah mempamerkan persembahan individu terbaik pada pentas Piala Dunia kali ini.

“Apa yang dilakukan dia hampir seperti dewa, kami memerhati reaksi daripada peminat terhadap semua yang dia lakukan,” ujarnya.

Bagi Alan Shearer pula, sentuhan Messi seolah-olah tidak aktif tetapi sebenarnya ia memberikan impak yang besar buat pasukan Argentina.

“‘Kami sangat bertuah berada di stadium untuk menontonnya, keinginan dan keupayaannya untuk membukanya ruang buat rakan sepa­sukannya jelas ketara.

“Dia adalah cerita yang memastikan kejayaan buat pasukan menewaskan Australia,” katanya.

Sementara itu, menurut Messi, perlawanan menentang Australia, semalam ibarat me­nempuh sepanjang hari yang sukar.

“Kami mempunyai sedikit masa berehat. Kami penat dan perlawanan ini sangat mencabar.

“Kami gembira dengan kemenangan ini dan bergerak satu lagi langkah ke hadapan. Kami berjaya, perkara itu yang paling penting,” ujar Messi.

Tambahnya, ia adalah detik yang luar biasa dan pemain Argentina ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang berada di sini.

“Seluruh Argentina gembira berada di sini,” ujarnya selepas mengetuai sambutan kejayaan pasukannya di padang.

Pada perlawanan di Stadium Ahmad Bin Ali itu, Messi menjaringkan gol pertama pasukan pada minit ke-35 menerusi rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Austra­lia, Mat Ryan.

Julian Alvarez menambah derita Australia apabila menyumbat gol kedua Argentina dari jarak dekat pada minit ke-57 sebelum rembatan lawan, Craig Goodwin terkena pertahanan Argentina, Enzo Fernandez tetapi bola menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-77.

Argentina akan menentang Belanda dalam suku akhir Piala Dunia bagi mencari tiket ke saingan separuh akhir.

Skuad kendalian Louis van Gaal itu menewaskan Amerika Syarikat 3-1 dalam aksi dominan dengan jaringan Memphis Depay, Daley Blind dan Denzel Dumfries. – Agensi/UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN