Pesara TUDM maut nahas dengan lori diesel 

Pesara TUDM maut nahas dengan lori diesel 

KEADAAN kenderaan yang dinaiki mangsa yang terbabit nahas di simpang empat Jalan Tampin Kanan, menghala Kundur Hilir, Rembau malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut apabila kenderaan yang dinaikinya terbabit nahas dengan sebuah lori bermuatan diesel dalam kejadian di simpang empat Jalan Tampin Kanan, menghala Kundur Hilir, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Mohd. Syah Mohd. Nor, 54, beralamat di Jalan Telok Berembang, Lubok China, Melaka, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori jenis Hino muatan minyak diesel sebanyak 30,000 liter dan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mangsa.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori dalam perjalanan dari arah jalan utama iaitu dari Pedas menghala ke Linggi. Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mangsa keluar dari arah simpang Tampin Kanan tanpa berhenti terlebih dahulu untuk melihat kenderaan yang bergerak terus dari jalan utama dan menghala terus ke simpang Kampung Kundur Hilir.

“Pemandu lori tidak dapat mengelak lalu terlanggar sisi kiri kereta. Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kenderaan, Shahrizan Abd Rahman mengalami kecederaan parah di bahagian leher, tangan kiri dan kaki kiri.

“Penumpang kereta pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan bahagian dalaman serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Hazri lagi, dalam kejadian tersebut pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau bagi proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN