Perancis waspada amukan Maghribi

Perancis waspada amukan Maghribi

Pemain pertahanan Maghribi, Jawad El Yamiq (dua dari kiri) mematahkan serangan pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes dalam saingan suku akhir. Maghribi menang 1-0. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps sedar akan cabaran bakal dihadapi oleh anak-anak buahnya pada peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022, menentang Maghribi yang memberi kejutan demi kejutan kepada semua penggemar bola sepak.

Deschamps memberi amaran kepada Les Bleus agar tidak memandang rendah kepada lawan mereka itu.

Katanya, strategi pertahanan skuad bimbingan Walid Regragui terbukti berhasil dan merupakan senjata utama Maghribi kekal berada dalam Piala Dunia 2022 walaupun menghadapi pasukan-pasukan yang kuat.

“Tidak ramai yang menyangka Maghribi boleh sampai ke tahap ini tetapi mereka sudah berada di sini (separuh akhir) dan ia bukan lagi kejutan.

“Dalam lima perlawanan mereka sebelum ini, hanya satu gol sahaja mereka di bolos. Itu menunjukkan mereka memang layak di sini, itu logiknya,” katanya.

The Atlas Lions menjadi negara Afrika pertama yang layak ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan Portugal di suku akhir.

Maghribi kekal menunjukkan prestasi cemerlang pada kejohanan tersebut selepas me­ngalahkan Sepanyol di pusingan 16 akhir dan Belgium dalam pe­ringkat kumpulan.

Pemain tengah Pe­rancis, Aurelien Tcho­ua­meni turut bersependapat dengan jurulatih­nya apabila me­mberitahu dirinya dan pasukan perlu berusaha keras untuk merobek benteng pertahananan Maghribi kerana itu adalah cabaran besar buat Les Bleus untuk mara ke perlawanan akhir.

Malah, penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris yang juga merangkap ketua pasukan Perancis menyeru rakan-rakanya untuk mengerah seluruh kudrat semasa menentang Maghribi.

“Sekarang kami sedang bersiap sedia untuk menentang Maghribi di separuh akhir, kami perlukan seluruh kekuatan, tenaga untuk pertembungan tersebut.

“Semua tahu ada sesuatu perkara istimewa perlu kami capai dan semuanya sedar akan perkara ini tetapi kami akan terus tenang,” katanya. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.