SHAH ALAM: Tindakan sekumpulan pemimpin dan ahli Parlimen dalam UMNO mendesak supaya jawatan Presiden dan Timbalannya dipertanding semasa pemilihan parti itu tahun depan didakwa mempunyai agenda untuk membentuk kerajaan baharu.
Gerakan tersebut didakwa dikhuatiri boleh mengganggu kestabilan politik dan mengulangi ‘tragedi’ pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila tiga kali bertukar kerajaan dalam sepenggal.
Justeru, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, jawatan nombor satu dan dua dalam UMNO disaran tidak dipertandingkan supaya kestabilan politik serta kerajaan berkekalan.
“Saya bimbang gejala seperti politik wang akan bermaharajalela. Dengar khabar kumpulan itu akan ditaja oleh kumpulan tertentu untuk mengalahkan Ahmad Zahid.
“Ahmad Zahid digambarkan sebagai bebanan dalam UMNO yang bertujuan untuk membuang beliau menerusi pemilihan kali ini,’’ katanya ketika dihubungi.
Ketua Komunikasi BN Selangor itu turut menafikan demokrasi dalam UMNO berkubur jika jawatan tersebut tidak dipertandingkan, sebaliknya menegaskan keutamaan ketika ini adalah kepada kestabilan dan kemaslahatan rakyat.
“Kalau tidak dipertandingkan tidak semestinya demokrasi itu tidak berjalan dalam UMNO tetapi untuk menjamin kerajaan perpaduan ini kekal (sehingga habis penggal),” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedudukan parti serta pentadbiran negara yang dilihat berada dalam keadaan stabil ketika ini tidak wajar diganggu dengan pemilihan parti yang dilihat boleh merosakkan kestabilan itu.
“UMNO telah diberikan nafas baharu dengan adanya kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Kerjasama politik ini juga suatu perkara positif bagi UMNO jika dibandingkan sekiranya UMNO bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Ini kerana dalam gabungan BN-PH, Ahli Parlimen UMNO khususnya diberikan jawatan dan portfolio penting dalam Kabinet, menunjukkan keikhlasan kerjasama itu,” katanya. – UTUSAN










