Pas Terengganu setuju PRN diadakan segera - Utusan Malaysia

Pas Terengganu setuju PRN diadakan segera

Pas setuju untuk adakan PRN segera susulan kebangkitan sokongan kepada gabungan itu PN pada PRU15. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas Te­rengganu bersetuju saranan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim agar Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk tiga negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) diadakan segera.

Pengarah Pilihan Raya Pas Nege­ri Terengganu, Ariffin De­ra­man berkata, saranan itu tepat melihat kepada momentum so­kongan rakyat terlalu kuat dan gelombangnya sukar disekat kali ini.

“Gelombang kali pertama dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang hasil tsunami undi masyarakat Melayu dan pengundi muda.

“Kali ini, kita akan saksikan sekali lagi kebangkitan gelombang kedua pada PRN dan saya yakin pada bila-bila pun PRN diadakan, gelombang itu kekal kuat dan tidak berubah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Semalam, Shahidan berkata, momentum sokongan rakyat yang dilihat berpihak kepada PN ketika ini menjadi waktu terbaik kepada gabungan itu membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Jelasnya, masa terbaik untuk mengadakan PRN di Terengganu, Kedah dan Kelantan ialah selepas selesai pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan DUN Tioman, Pahang.

Ini kerana momentum soko­ngan bertambah kuat selepas rakyat menzahirkan kemarahan terhadap pelantikan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ariffin berkata, jentera parti itu sentiasa bersedia untuk be­kerja semula pada bila-bila masa dalam meraih kemenangan besar PRN akan datang.

“Jika diadakan awal pun tiada masalah atau jika dilewatkan sedikit pada Mei atau Jun pun, gelombang itu masih ada untuk kita raih kemenangan bergaya di Terengganu,” katanya.

Ariffin yang juga Ahli DUN Alor Limbat berkata, keyakinan itu bukanlah satu impian kosong kerana hasil analisis yang dibuat pada PRU15 membuktikan ia adalah satu fakta yang benar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×