fbpx

Pas mahu mengundi pada hari tidak bekerja

KOTA BHARU : Pas mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses pengundian di masa hadapan pada hari tidak bekerja bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, proses itu tidak sepatutnya berlaku pada hari bekerja kerana ia boleh mengurangkan peratusan orang ramai untuk keluar mengundi.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dititikberatkan sususlan peratusan keluar mengundi terlalu rendah yang direkodkan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman semalam.

“Peratusan keluar mengundi (terlalu rendah)  itu memcerminkan bahawa SPR perlu menyemak kembali hari pengundian agar dibuat pada Sabtu atau hari minggu. Kali ini terbalik apabila hari penamaan calon dibuat pada hari cuti manakala hari mengundi  hari Rabu (bekerja).

“Situasi itu, sangat tidak sesuai hari mengundi dibuat (pada hari bekerja). Jadi saya harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh pihak SPR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 dan Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mahu SPR memberi perhatian serius kepada kemudahan bagi pengundi keluar mengundi terutama di kawasan yang memerlukan pengangkutan air seperti di Pulau Tioman.

“Pengundian di DUN Tioman turut membabitkan empat peti undi di Pulau Tioman. Mereka terpaksa menggunakan bot dan feri untuk keluar mengundi.

“Bagaimmanapun, perkhidmatan feri tidak beroperasi pada hari musim ini kerana laut bergelora. Faktor ini menjejaskan peratusan keluar mengundi terutamanya di kawasan pulau,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka menyatakan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai merupakan referandum rakyat terhadap apa yang sedang berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan khususnya.

Katanya, kemenangan PN dengan majoriti 16,260 undi dianggap cemerlang da luar jangka sekaligus menjadi bukti rakyat menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Ia merupakan reaksi segera rakyat terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan hasil penggabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Saya tengok rata-rata pengundi menolak penggabungan tersebut dan kita dapati keputusan ini memcerminkan hasrat rakyat bersama PN walaupun tidak menerajui kerajaan. Ini gelombang rakyat dan kita menghargainya dan ucap terima kasih.

“Saya melihat momentum kemenangan itu perlu diteruskan kerana masih ada enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN