KUALA LUMPUR: Pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun perlu diberikan pendedahan dan dimantapkan pemahaman mereka mengenai proses demokrasi dan politik negara, bukannya dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas Undi18, Tharma Pillai berkata, langkah itu akan membolehkan mereka lebih memahami proses demokrasi berperlembagaan, seterusnya mampu membuat keputusan tepat ketika membuang undi dalam pilihan raya.
Menurut beliau, pewartaan Undi18 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat berjaya apabila ramai daripada golongan itu keluar mengundi, cuma mungkin ada dalam kalangan golongan tersebut yang tidak tahu siapa mereka perlu undi.
Corak pengundian pengundi muda pada PRU15 menunjukkan kumpulan tersebut cakna dengan politik negara sehingga keputusan pilihan raya itu didakwa dipengaruhi pengundi bawah 21 tahun.
Difahamkan, ramai dalam kalangan pengundi muda yang pertama kali mengundi lebih banyak terpengaruh dengan pendapat rakan-rakan dan ahli keluarga dalam membuat keputusan ketika mengundi.
KANDUNGAN
Mereka juga dikatakan lebih mudah terpengaruh dan percaya dengan kandungan dalam media sosial tanpa melihat tawaran-tawaran dalam manifesto parti-parti yang bertanding.
“Berdasarkan PRU15, kerajaan perlu memantapkan isu pemahaman anak muda tentang demokrasi,” kata Tharma yang menolak cadangan memansuhkan Undi18.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kerajaan perlu memperkenalkan silibus dalam sistem pendidikan negara terutama di peringkat menengah kerana usaha itu akan membuatkan mereka lebih faham perjalanan demokrasi dan bersedia untuk menjadi bakal pengundi.
“Ini bukan sahaja orang muda tetapi dalam kalangan mereka yang berusia masih ramai yang tidak faham dengan asas demokrasi negara, contoh masih ada yang tidak tahu beza Dewan Undangan Negeri dan Parlimen,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut beliau, rombakan sistem pendidikan negara ke arah memberi pendedahan kepada pengundi muda memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan pengundi 18 hingga 18 tahun pada pilihan raya umum yang berikutnya lebih memahami isu demokrasi perlembagaan.
Kata beliau, pada PRU15 anak muda yang ramai keluar mengundi bermakna mereka berminat mengenai politik namun mungkin perlu diberi pendedahan agar mereka lebih memahami proses pemilihan kerajaan.
ANAK MUDA
“Jangan kata mereka tidak mengundi parti kesukaan kita, ia memberi makna anak muda telah membuat pilihan yang tidak betul. Anak muda hari ini tidak membuat keputusan berkisar kepada parti anda.
“Dalam hal ini, setiap parti politik perlu membuat kajian dengan lebih efektif, menggunakan pelbagai media kerana itu adalah strategi untuk mendapatkan sokongan anak muda,” ujarnya lagi.
Pindaan umur kelayakan Undi18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 1 Disember 2022.
Terdahulu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu akan berkuat kuasa pada 15 Disember ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya iaitu Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)(Pindaan) 2021 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya)(Pindaan) 2021 sudah diwartakan pada 30 November lalu. – UTUSAN










