MAINS agih dana zakat RM148.4 juta kepada asnaf - Utusan Malaysia

MAINS agih dana zakat RM148.4 juta kepada asnaf

MOHD. Shahrom Nordin (tengah) dan wakil syarikat korporat memegang replika cek pada Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat-Syarikat Korporat di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM148.4 juta kepada golongan asnaf hasil kutipan zakat yang terkumpul sehingga Oktober tahun ini. 

Timbalan Pengerusi MAINS, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Shahrom Nordin berkata, golongan asnaf yang dibantu terdiri daripada fakir, misikin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, amil dan gharimin.  

“Agihan lain meliputi bantuan hemodialisis kepada asnaf dan orang ramai, bantuan pendidikan kepada yang memerlukan, bantuan kewangan dan perubatan. 

“Kami akan gunakan kutipan zakat ini mengikut lunas dan ketetapan agama Islam bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik selain mengecilkan jurang dengan golongan berkemampuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat – Syarikat Korporat di sini hari ini. 

Majlis tersebut menyaksikan keseluruhan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM2,474,035.62 melibatkan 10 syarikat korporat. 

Mohd. Shahrom berkata, dalam mendepani ketidakstabilan ekonomi global, semua pihak tidak seharusnya melupakan peranan penting zakat bagi merancakkan kembali ekonomi umat Islam.

“Permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan dengan mewujudkan kuasa membeli kepada golongan asnaf melalui agihan zakat yang dilaksanakan,” katanya.

Menurut Mohd. Shahrom, MAINS sentiasa proaktif dalam memperkasakan pelbagai inisiatif berkaitan urusan kutipan dan agihan zakat melalui dasar komprehensif. 

“MAINS kini bertindak lebih komited dalam memperkasakan pelbagai inisiatif berkaitan urusan pengagihan zakat seiring dengan keperluan semasa. 

“MAINS turut meningkatkan kadar had kifayah yang layak bagi para asnaf iaitu bagi fakir adalah minimum RM250 hingga RM800 manakala kadar had kifayah miskin adalah RM250 hingga RM550,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd. Shahrom memberitahu, MAINS positif untuk mencapai sasaran RM160 juta zakat perniagaan sehingga akhir tahun ini. 

“Bermula Januari hingga November tahun ini, MAINS berjaya membuat kutipan zakat perniagaan sebanyak RM112 juta berbanding RM106.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. 

“Berlaku peningkatan sebanyak RM6.5 juta dan kita positif sasaran RM160 juta zakat perniagaan pada tahun ini dapat dicapai memandangkan kebiasaannya pada bulan Disember ramai yang akan membayar zakat di saat akhir,” katanya. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.